Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berang dengan kadar mahkamah menolak kes petisyen pilihan raya umum ke-13 yang difailkan oleh calon-calon Pakatan Rakyat.
Anwar berkata, peguam beliau akan membuat satu pendirian yang kuat esok mengenai perkembangan berkaitan dengan penolakan petisyen pilihan raya, di mana calon-calon juga diperintahkan membayar kos kepada lawan mereka.
"Peguam kami akan membuat pengumuman mengenainya di KL, kami sedang berbincang tindakan kami selanjutnya," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Seberang Jaya malam tadi.
Beliau menyifatkan sebagai tidak masuk akal dan tidak betul, cara hakim-hakim menolak kes-kes tersebut atas alasan teknikal tanpa membenarkan kes-kes itu dibicarakan.
Malah, kata Anwar, Pakatan juga tidak boleh menerimanya sekiranya perkara yang sama juga berlaku kepada petisyen yang difailkan oleh BN.
Pada 23 Julai, petisyen yang difailkan oleh dua calon PKR dari Pulau Pinang - Abdul Halim Hussain (bagi kerusi DUN Teluk Bahang) dan Muhammad Baktiar Wan Chik (bagi kerusi Parlimen Balik Pulau) ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Kedua-duanya yang kalah kepada calon BN dalam pilihan raya umum lalu, diperintah membayar kos - Abdul Halim RM10,000 dan Muhammad Baktiar RM30,000 - kepada lawan mereka, pegawai pengurus piihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim Hadariah Syed Ismail mengeluarkan perintah itu kepada kedua-duanya kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.
Minggu lepas, calon PAS bagi Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (kanan) diperintahkan membayar RM40,000 kepada SPR dan RM30,000 kepada lawannya apabila petisyennya ditolak di Kuala Lumpur.
Manakala lawan calon PKR bagi Parlimen Batu, Tian Chua - calon dari BN Dr Dominic Lau - yang ditolak petisyennya, diperintahkan membayar RM50,000 kepada Tian, selepas peguam calon PKR bertegas mengenainya dalam prosiding mahkamah.-mk