ARTIKEL SEBELUM

20/07/13

Jejambat retak

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah menggesa pihak yang bertanggungjawab menyiasat kesan keretakan yang terjadi pada jejambat Pasir Hor-Kubang Kerian, di sini.

Gesaan tersebut perlu diambil serius memandangkan jejambat yang dilalui lebih 5,000 kenderaan setiap masa itu kini kelihatan retak dan tersasar sebanyak 54 sentimeter dari kedudukan asalnya.

“Saya menggesa perkara ini perlu diteliti pihak yang berkaitan kerana melibatkan nyawa pengguna. Walaupun ada simen yang retak dan telah ditampal, namun ia masih berlaku, itu menunjukkan berlaku pergerakan serius di kawasan tersebut.

“Saya bimbang banyak kes berlaku melibatkan keruntuhan infrastruktur dalam negara, ini melibatkan nyawa rakyat, saya harap perkara yang sama tidak berlaku di sini,” katanya.

Turut hadir meninjau kawasan tersebut ialah badan bukan kerajaan (NGO) Royalti, Anak Muda Bangkit 13 (AMBANG13) dan Anak Muda Boleh (AMBO) serta Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kelantan.

Ahmad Baihaki menerima aduan keretakan tersebut daripada aktivis Kelantan yang diketuai Penyelaras NGO tersebut, Aduka Taruna yang menemui tanda garis lurus yang dibuat oleh pihaknya pada 6 Julai lalu bergerak sebanyak tiga milimeter dalam masa 13 hari sehingga 19 Julai lalu.

Terdahulu, selepas Jambatan Sultan Yahya Petra yang bernilai RM170 juta, jejambat di Jalan Pasir Hor itu yang dibina Kerajaan Pusat membabitkan kos RM33 juta juga dibuka untuk laluan kenderaan dan dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Pembukaan jalan bertingkat itu juga mampu mengatasi kesesakan yang sering kali berlaku kerana ia merupakan jalan utama menuju ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Jalan bertingkat empat lorong itu dibina pada 2008 sepanjang 600 meter turut memudahkan perjalanan kepada pengguna yang mahu ke Rantau Panjang dari arah Kubang Kerian.-SH
 Siasat jejambat retak

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud