KUALA LUMPUR - Cadangan PR untuk menamakan calon Timbalan Speaker tidak diterima Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila mereka gagal ikut peraturan 6(2).
Peraturan tersebut memerlukan setiap parti mengisi borang cadangan dan diserahkan 14 hari sebelum Dewan mula bersidang.
Oleh yang demikian, calon yang dicadangkan BN iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13.
Keputusan itu diumumkan selepas semua Ahli Parlimen selesai mengangkat sumpah.
"Saya tidak boleh menerima cadangan PR kerana gagal mengikut peraturan. Saya juga tidak melonggarkan peraturan mesyuarat kerana kegagalan anda berbuat demikian.
"Kalau anda (PR) tidak puas hati, mengapa tidak fail notis cadangan kepada pejabat Speaker 14 hari sebelum persidangan hari ini," katanya.
Kiandee dan Ismail merupakan dua nama yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam surat bertarikh 6 Jun kepada pejabat Speaker. Ini merupakan penggal kedua
Kiandee dilantik sebagai Timbalan Speaker.
Manakala, pelantikan Ismail yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengisi kekosongan satu lagi jawatan selepas Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.