ARTIKEL SEBELUM

25/06/13

Sidang DUN Perak di jangka panas

IPOH: Dengan tiga kerusi yang membezakan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sidang DUN Perak bermula 28 Jun ini dijangka panas.

Namun PAS berazam untuk memberikan yang terbaik demi kepentingan bersama, rakyat dan juga kerajaan melalui sidang Dun.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien menyifatkan, kekuatan pembangkang di Perak akan membantu menjaga kerajaan daripada melakukan penyelewengan dan salah urus tadbir dalam kerajaan.

Menurut Adun Titi Serong itu, suasana persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan lebih bermanfaat apabila kedua-dua belah pihak mempunyai suara dan kekuatan yang seimbang dan sudah pasti akan menghasilkan suatu keputusan serta perbahasan yang baik untuk rakyat.

Beliau berkata, persaingan polisi dan cadangan kedua-dua belah pihak akan dapat dilihat dalam persidangan Dun Perak sesi ini.

Sidang Dun Perak akan berjalan mulai 28 Jun ini.

Pakatan Rakyat di Perak mempunyai kekuatan 28 ahli iaitu 18 Adun daripada DAP manakala PAS dan PKR masing-masing 5 Adun.

BN pula mempunyai 31 kerusi iaitu tiga kerusi membezakan dengan Pakatan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan yang ditubuhkan oleh BN kali ini tidak kukuh.

“Kekuatan pembangkang sangat penting dalam sesebuah persidangan Dun bagi membantu menjaga serta ‘menegur’ kerajaan dan segali gus mewujudkan persaingan idea serta polisi yang sihat daripada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat akan membawa suara rakyat dalam memastikan rakyat di negeri itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagai rakyat yang bebas daripada segala kezaliman dan penipuan.

Jelas Ustaz Abu Bakar, Pakatan Rakyat komited untuk menggunakan kekuataan suara yang ada di Dun bagi memastikan prospek masa depan rakyat menjadi salah satu perkara yang akan diperjuangkan.

“BN tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan apa-apa polisi dan sebagainya yang hanya memberi keuntungan kepada mereka dan kroni-kroni mereka.

“Pakatan Rakyat akan memastikan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan negeri yang telus dan berwibawa adalah keutamaan dalam perbahasan di sidang Dun,” jelas beliau lagi.

Disamping itu, beliau menegaskan, Pakatan Rakyat akan menggunakan platform tersebut untuk mendedahkan penyelewengan dan salah laku BN dalam urus tadbir negeri supaya rakyat mengetahui akan apa yang dilakukan oleh BN dalam pemerintahannya.

Dalam pada itu, beliau percaya, Adun khususnya daripada PAS akan dapat membawa suara rakyat di negeri ini dalam sidang Dun.

Ianya kata beliau, tidak berkisarkan kepada isu-isu dalam Dun masing-masing sahaja tetapi di seluruh Perak bagi membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar berkemampuan untuk mentadbir negeri.

sumber

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud