ARTIKEL SEBELUM

12/06/13

Petisyen: PKR ada bukti kukuh kes Bagan Datok


Oleh Muhammad Faizal,


PETALING JAYA: PKR menyifakkan petisyen melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datok, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai bukti yang kukuh.

Ketua Pasukan #SiasatPRU13, Rafizi Ramli memberitahu segala bukti dan pengakuan pembelian undi jelas diakui oleh beliau (Ahmad Zahid) sendiri yang mana rakaman video pengakuan tersebut dimuat naik melalui blognya sendiri.

PKR yang sebelum itu telah memfaikan 19 petisyen dan satu petisyen yang difailkan oleh seorang individu membabitkan satu kawasan parlimen yang sama iaitu Bagan Datok menjadikan 20 petisyen telah difailkan.

"Kita mendedahkan kandungan petisyen melibatkan Parlimen Bagan Datok untuk pertama kali apabila kita melihat terdapat bukti yang kukuh wujud pelanggaran undang-undang yang berlaku pada pilihanraya yang lepas.

"Segala bukti dan pengakuan itu diakui sendiri oleh Ahmad Zahid dan ia dirakam serta dimuat naik di dalam blognya sendiri, perkara ini tidak boleh dinafikan oleh beliau," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Dua petisyen melibatkan Parlimen Bagan Datok telah difailkan oleh Mahdi Hassan calon PKR di parlimen tersebut dan juga Azmi Sulaiman yang merupakan pengundi.

Mahdi dalam petisyennya menyatakan responden (Zahid) telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(a) (Bahagian III) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Di mana seseorang adalah disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok jika beliau sebelum sesuatu pilihan raya secara tidak langsung, melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi apa-apa wang dan balasan bernilai kepada mana-mana pemilih bagi mendorong mana-mana pemilih supaya mengundi dalam pilihan raya.

Jelas Mahdi, Ahmad Zahid pada 19 April lepas sebelum pilihanraya di Dewan Sanmarka di Hutan Melintang secara tidak langsung melalui individu bernama Supramaniam Ramalingam bagi pihak responden telah memberi wang tunai bernilai RM100 dan lima kampit beras seberat 1 kilogram setiap kampit.

"Kita mendapat bukti bahawa dalam satu majlis di sebuah dewan yang dianggarkan kehadiran 1000 orang, Ahmad Zahid melalui wakilnya telah memberikan wang tunai RM100 dan juga lima kampit beras seberat 1 kilogram kepada mereka yang hadir.

"Ini jelas ia bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya yang bertujuan memberikan sesuatu untuk mendapat sokongan atau undi," jelasnya.


Belanja RM2.4 juta



Sementara itu petisyen yang difailkan Azmi telah menyatakan Ahmad Zahid telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19(1)(a) (Bahagian IV) Akta tersebut dengan membayar wang dan belanja lebih dari had maksimum yang dibenarkan iaitu RM200,000 bagi setiap pilihanraya.

Dalam petisyen tersebut beliau menyatakan Ahmad Zahid telah berbelanja sekurang-kurangnya RM2.4 juta dan ia telah melebihi had yang ditetapkan di dalam akta tersebut.

Ahmad Zahid dalam satu klip video yang bertajuk "Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera BN" yang disiarkan dalam blognya telah melantik dan mengambil bertugas petugas-petugas jenteranya seramai 24,000 orang dengan bayaran wang tunai dan memberi beras.

Dalam keadaan sedemikian, Ahmad Zahid mengakui bahawa beliau telah membayar wang tunai dan belanja sekurang-kurangnya RM2.4 juta dalam hal pilihanraya tersebut berkenaan dengan perjalanan pilihan raya.

Rafizi (gambar atas) yang menjelaskan tidak pernah ada dalam sejarah pilihanraya seseorang calon itu mempunyai jentera seramai 24,000 orang setiap kali berlakunya pilihanraya.

Beliau yang menyifatkan mungkin Ahmad Zahid merasakan beliau cuba mengubah pengundi kepada jentera tetapi tindakan tersebut sebenarnya menjerat beliau apabila beliau hanya mendapat 17,176 undi dari 39,924 pengundi.

Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan turut menayangkan klip video yang menyiarkan pengakuan Ahmad Zahid terhadap kesalahan yang beliau lakukan.

Kedua-dua petisyen tersebut telah difailkan semalam di Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Peguam Chong Kok Yew yang mewakili Azmi dan Edmund Bon Tai Soon pula mewakili Mahdi.

Bukti BN tolak Hudud