ARTIKEL SEBELUM

13/06/13

Pejabat PAS Raub dipecah

 

RAUB: PAS Kawasan Raub mengesyaki pejabatnya yang dipecah masuk kelmarin mempunyai kaitan dengan hasrat PAS untuk memfailkan petisyen pilihan raya umum (PRU) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dong.

Setiausahanya, Dr Nilam Abdul Manaf (gambar) berkata, ini disebabkan tidak ada barangan berharga dan wang yang hilang dalam kejadian tersebut.

Katanya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu didapati seperti mencari sesuatu dokumen berdasarkan semua laci dan almari didapati digeledah dan dibiarkan berselerakan.

“Kejadian mulai disedari oleh Bendahari Kawasan Tengku Shah Amir yang juga bekas calon Dun Dong kelmarin, apabila ke pejabat di tingkat atas bangunan dua tingkat itu dan mendapati kunci dan pintu utama telah diumpil.

“Keadaan dalam pejabat pula bersepah dan berselerakan dengan kertas. Selepas bermesyuarat, kami mengesyaki ada individu tidak bertanggungjawab yang mahukan dokumen penting,” katanya.

Tambahnya, andaian tersebut berdasarkan tidak ada barangan seperti televisyen dan komputer yang dicuri malah wang beratus-ratus ringgit yang terletak di atas meja juga didapati tidak diusik.

“Berdasarkan itu, tidak mungkin pencuri atau penagih dadah yang menceroboh tetapi individu atau kelompok tertentu yang masuk itu cuba untuk mendapatkan dokumen penting.

Dr Nilam berkata, PAS Kawasan Raub memang bertujuan untuk memfailkan petisyen PRU bagi Dun Dong, iaitu satu-satunya kerusi ditandingi PAS di Raub atas kesalahan dilakukan BN pada PRU lalu.

Sehubungan dengan itu, PAS Raub juga telah membuat laporan polis.-HD

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud