ARTIKEL SEBELUM

10/06/13

Muhyiddin betul-betul dalam dilema

 

KUALA LUMPUR: Seruan untuk kedua-dua jawatan tertinggi Umno untuk tidak dipertandingkan betul-betul membuatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam dilema.

Menurut sumber Umno yang menghubungi Harakahdaily, Timbalan Presiden Umno itu tidak berani menyambut seruan tersebut kerana terasa ada perangkap menantinya.

“Jika Muhyiddin sambut, bermaksud beliau tak akan mencabar bosnya (Datuk Seri) Najib (Razak). Tapi siapa yang boleh beri jaminan beliau tidak akan dicabar oleh (Datuk Seri) Ali Rustam dan (Tan Sri) Isa Samad.

"Jika Muhyiddin sambut sahaja, maka Najib sudah terselamat. Dan ini membuka peluang kepada semua musuhnya untuk menggulingkannya. Akhirnya seruan hanya akan tinggal seruan, hanya jawatan Presiden Umno tidak dipertandingkan,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily.

Semalam, Muhyiddin menegaskan bahawa hak menentukan pertandingan dua jawatan tertinggi Umno untuk berlangsung atau tidak, tidak terletak pada tangan individu pemimpin tapi ahli-ahlinya.

“Saya akan komen apabila tiba masa yang sesuai,” kata Muhyiddin ketika ditanya samada beliau menyokong kedua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan.

Sebelum itu, Muhyiddin turut mengikut langkah untuk mematikan 1Malaysia Najib dengan mengisytiharkan bahawa (BN) akan memberi "bantuan lebih kuat" kepada komuniti yang menyokong mereka semasa pilihan raya umum.

"Mesej jelas sebahagian besar Melayu, India, Bumiputera, Orang Asli, Siam dan sebahagian besar masyarakat di Sabah dan Sarawak masih mendukung BN," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Orang Umno paling sayangkan jawatan. Muhyiddin tidak terkecuali. Tapi beliau sedar beliau dalam bahaya. Sokongan yang diharapkan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di pemilihan Umno 2009 di mana beliau mengetuai kempen turunkan Tun Abdullah (Badawi) tidak kuat kali ini.

"Najib akan diam diri – wartawan akan serang bertubi-tubi pada Muhyiddin. Najib hanya memerlukan jawapan daripada seorang saja iaitu Muhyiddin untuk menyelamatkannya daripada dicabar. Tapi berlainan dengan Muhyiddin, beliau memerlukan banyak jawapan untuk yakin bahawa kedua-dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan itu akan direalisasikan,” kata sumber Umno lewat malam tadi.

Beliau turut mengulangi pendapatnya bahawa Muhyiddin memilih jalan maut sekiranya mengambil keputusan untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden.

“Jika itu keputusan Muhyiddin, maka itulah titik noktah bagi karier politik beliau yang hanya sampai peringkat Timbalan Perdana Menteri sebelum digantikan dengan orang yang lebih muda dan tidak mengugat Najib.

"Di dalam Umno, ramai yang menganggap beliau sebagai layak menjawat presiden Umno sekurang-kurangnya kerana senioriti dan sumbangannya kepada parti. Lagipun isteri Muhyiddin low profile seperti isteri Tun (Dr Mahathir) yang wakil-wakil Umno lebih suka berbanding (Datin Seri) Rosmah (Mansor),” kata beliau sebelum mengakhiri perbualan telefon.

Harakahdaily. 

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud