(Oleh Norutul Ilham)
PERMATANG PAUH 8 APRIL: Hasrat Papagomo bertanding sebagai calon bebas menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh akan menjadi mimpi ngeri kerana pengundi Parlimen itu mahu pastikan penulis blog upahan Umno tersebut bakal kehilangan deposit.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Permatang Pauh, Amir Md Ghazali menyifatkan, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dirujuk sebagai Papagomo hanya boneka Umno BN yang kerap dikait dengan paparan lucah khususnya memfitnah Ketua Umum KEADILAN.
“Papagomo dari segi moralnya tiada kredibiliti. Dia bekas polis perasuah dan boneka Umno.
“Kalau betul dia mahu bertanding, kami di Permatang Pauh akan dedahkan siapa sebenarnya alat Umno ini,” kata Amir kepada Keadilan Daily.
Polis pada 28 Mac lalu mengesahkan identiti Azri sebagai bekas anggota yang pernah disabit kesalahan rasuah.
Mengikut kenyataan media polis, Azri pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang antara 1 Julai 2002 hingga 30 November 2004 sebagai seorang konstabel, sebelum ditangkap.
Beliau kemudian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang Jaya pada 31 Oktober atas kesalahan jenayah yang tidak dinyata dalam kenyataan berkenaan.
Rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, menyatakan Azri disabit kesalahan meminta suapan RM1,000 dari seorang lelaki pada 29 November 2004 untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki jarum suntikan bagi menagih dadah.
Dengan rekod ini, Amir yang juga Ketua AMK Negeri percaya pengundi Permatang Pauh teruja mahu mengenali wajah sebenar boneka kebanggaan Umno itu.
“Kalau sebelum ini hanya ada laporan TV dan akhbar, di sini (Permatang Pauh), rakyat boleh tengok muka Papagomo yang suka tabur fitnah. Saya pasti beliau akan dimalukan pengundi.
“Sekalipun ada orang mahu pilih beliau, saya yakin orang itu berminat dengan politik fitnah dan kotor,” kata Amir.
Polis dalam kenyataan turut menerangkan kedudukan Azri sebagai pengundi pos secara ‘panjang lebar’ selepas penamatan perkhidmatan sebagai anggota polis.
Pada 21 Mac lalu, Anwar memfail saman RM100 juta terhadap Azri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan perbuatannya menyebar video seks palsu yang terbit dalam blog Papagomo 16 Mac lalu. – NS