(Tan Sri Muhamad dan Tamrin menunjukkan kenyataan bersama mereka kepada media)
Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib dan Tamrin Tun Ghafar dalam sidang medianya hari ini berkata, masa depan sudah tidak ada dalam Umno.
"Dengan corak dan pendekatan politik yang ada, Umno sudah tertinggal di arus perubahan negara dan dunia," kata kenyataan bersama mereka.
Muhamad, bekas Menteri Besar Selangor mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS semalam.
Borang permohonan menjadi ahli PAS itu diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ceramah pertama beliau di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi disertai oleh kira-kira 10,000 orang.
Tamrin pula menyertai PAS tahun lalu. Beliau kini menjelajah seluruh negara bagi memujuk semua rakyat khasnya ahli Umno agar meninggal parti itu.
(Orang ramai yang memenuhi Dataran Kemerdekaan Shah Alam mendengar ucapan Tan Sri Muhamad malam tadi)
Mereka berdua hari ini menyeru "semua rakan-rakan yang masih berada dalam Umno, (datanglah) untuk bersama-sama kami membuat perubahan di negara kita yang tercinta ini."
Bagi mereka, tindakan 62 ahli dan pemimpin Umno yang bertindak bertanding sebagai calon bebas membuktikan perkara ini.
Umno pula telah mengumumkan pemecatan mereka sebagai ahli.
"Kami yakin tuan-tuan termasuk dalam golongan yang berani untuk berkata tidak kepada pucuk pimpinan Umno," kata mereka.
Atas nama winnable candidate (calon boleh menang) semuanya dilakukan.
Yang tidak layak, yang bermasalah dan yang berkepentingan semuanya terpilih kerana kepentingan kumpulan dan pasukan, kata mereka.
"Sehubungan itu, kami dengan rendah hati menyeru semua ahli-ahli Umno khasnya 62 ahli dan pemimpin Umno yang bertanding atas tiket calon bebas, marilah kita berpadu tenaga.
"Kita bersama arus perubahan untuk masa depan negara yang lebih baik," kata mereka berdua.
Mereka mengajak kesemua bekas pemimpin Umni itu agar "semua bersama memberikan undi kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum kali ini."
Tamrin dalam sidang media itu pula memaklumkan, beberapa pemimpin tertinggi Umno menghubungi beliau bagi menyatakan keresahan mereka dengan apa yang berlaku dalam Umno sekarang.
Semalam Datuk Seri Rais Yatim turut melahirkan keresahan yang sama.
Rais seolah-olah menyalahkan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dalam masalah yang timbul dalam pemilihan calon BN kali ini.
Rais, yang digugurkan daripada menjadi calon di pilihanraya umum ke 13 kali ini memberikan bayangan bahawa penentuan calon tidak dilakukan dengan sistematik dan mengikut lunas yang ditetapkan bagi memastikan mereka betul-betul layak untuk bertanding.-Harakahdaily