(Oleh Norutul Ilham)
GOMBAK BN berkempen secara kotor dengan menyebar risalah palsu tertera gambar tiga pemimpin Pakatan Rakyat di sekitar Parlimen Gombak.
Turut dinyatakan dalam risalah itu, logo bendera setiap komponen Pakatan dengan tajuk 'Undilah calon-calon kami' serta mengandungi enam janji palsu Pakatan jika menang pilihan raya.
Antara janji palsu tersebut adalah Islam tidak lagi menjadi agama rasmi, hak keistimewaan Melayu dihapuskan dan sistem beraja dimansuhkan.
Juga terkandung ucapan 'terima kasih kerana menyokong kami!'.
Menurut Setiausaha Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves, Nizam Md Saad, penyebaran secara berleluasa itu diketahuinya apabila ada pihak menghantar ke pusat gerakan DUN berkenaan baru-baru ini.
"Sekali imbas kita tidak perasan risalah ini palsu kerana menggunakan logo parti, jadi orang ramai akan tertipu.
"Saya yakin sudah banyak diedar kerana kita terima laporan menyatakan risalah ini disebar sepanjang kawasan DUN," katanya.
Sehubungan itu kata Nizam, calon KEADILAN Gombak dan Batu Caves, Mohamed Azmin Ali dan Amiruddin Shari akan menerangkan mengenai fitnah itu dalam pertemuan bersama rakyat sepanjang tempoh berkempen.
"Setiap ceramah, calon kita akan terangkan kepada rakyat supaya tidak tertipu dengan risalah fitnah itu.
"Kita bimbang perkara ini akan menjadi bertambah parah kerana mereka sanggup guna apa sahaja taktik kotor menjelang PRU13," tambahnya.
Kata Nizam, untuk mengelakkan perkara ini berulang, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.
"Saya mewakili Parlimen Gombak dan DUN Batu Caves akan buat laporan polis," katanya.