Seorang pemimpin Umno Johor berkata sebahagian besar cawangan parti di Pasir Gudang menutup bilik gerakan kerana kecewa dengan tindakan menteri besar Datuk Abdul Ghani Othman yang masih belum memberi hak milik tanah kepada penduduk setinggan.
Laporan Sinar Harian Online yang memetik kenyataan pegerusi tetap Umno bahagian tersebut, Abu Bakar Alibi menyebut lima bilik gerakan ditutup dan empat lagi dijangka mengambil tindakan sama menjelang pilihan raya.
Abu Bakar dalamn laporan itu juga berkata Umno cawangan berkenaan juga tidak akan menjalankan aktiviti untuk menghadapi pilihan raya dan tidak akan bertanggungjawab sekiranya tindakan pengundi menjejaskan BN.
“Apa sahaja tindakan pengundi dan apa sahaja yang bakal berlaku kepada calon BN pada PRU13 nanti, kami selaku Ketua Umno Cawangan tidak akan bertanggungjawab.
“Sekarang sudah lima bilik gerakan ditutup, kami difahamkan empat lagi bilik gerakan di kampung setinggan akan menyusul tanpa sebarang persiapan berdepan PRU13,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Laporan berkenaan juga memetik kenyataan daripada tiga ketua Umno cawangan di kawasan tersebut - Yacob Sahadan (Kampung Senibong), Mohd Saleh Arsad (Kampung Plentong Baru) dan Nordin Kasri (Kampung Seri Makmur).
Yacob berkata menteri besar berjanji untuk memberi hak milik tanah itu sejak 13 tahun lalu.
Pemimpin berkenaan juga antara lainnya bimbang isu tersebut akan menjejaskan sokongan orang Melayu di negeri yang didakwa sebagai kubu kuat Umno itu.- Mkini.com