Kuala Lumpur- Seorang eksekutif pentadbiran wanita trauma selepas gambar wajahnya dipaparkan dalam sebuah laman sosial menggunakan teknik pertindihan bagi tujuan mempromosikan khidmat seks.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, berkata gambar wajahnya diubahsuai oleh pengendali laman sosial berkenaan, seterusnya dipadankan dengan tubuh badan wanita yang mengghairahkan bagi menarik perhatian pelanggan.
Kejadian disedari pertengahan tahun lalu, namun saya tidak menyangka ia berlarutan sehingga sekarang, walaupun selepas saya membuat aduan rasmi kepada pengurusan laman sosial itu.
Selepas itu saya tidak lagi dapat gambar profil berkenaan yang menggunakan nama Jessy Srikembangan, malah menganggap pengendalinya sudah dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan laman berkenaan, katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa dihubungi rakannya, Ogos lalu, bertanyakan sama ada beliau terdesak memerlukan wang kerana terlihat wajahnya pada gambar profil sebuah laman sosial menawarkan perkhidmatan seks.
Buat siasatan sendiri
Berikutan itu, saya membuat siasatan sendiri dan menemui gambar profil Jessy Srikembangan dan serta Lisa Carino yang menggunakan gambar saya. Saya kemudian menghubungi nombor telefon disertakan di salah satu profil itu dan mereka memberikan nombor akaun bank atas nama Jessy Ling Kok Diong.
Saya berasa amat malu, lebih-lebih lagi saudara mara saya turut mengetahui kewujudan profil berkenaan. Perbuatan pemilik profil itu amat dikesali, malah saya kini berasa trauma untuk keluar rumah kerana malu, katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Shah Alam sebelum mendapatkan bantuan Biro Pengaduan Awam MCA bagi membersihkan namanya dan keluarga.
-bharian.com