ARTIKEL SEBELUM

26/12/12

Sultan Terengganu lawat mangsa banjir di Jabi

SETIU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mencemar duli melawat pusat pemindahan banjir di Kampung Bukit Rambutan, Jabi dekat sini yang menempatkan seramai 137 dari 67 keluarga mangsa banjir.

Kehadiran baginda kira-kira 5.15 petang itu turut diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali serta pemimpin setempat.

Ketibaan baginda dinantikan oleh mangsa di pusat pemindahan itu yang beratur untuk bersalaman dan bersua muka dengan baginda.

Sultan Mizan meluangkan masa hampir setengah jam bertanyakan khabar penduduk serta turut menyampaikan cendera hati berupa makanan kepada mangsa banjir tersebut.

Bagi mangsa banjir, kunjungan Sultan Mizan itu diumpamakan bagai pengubat kesedihan ketika mereka menghadapi musibah.

Seorang mangsa, Lina Ismail berkata beliau gembira apabila mendapat tahu Sultan Mizan sudi mencemar duli melawat rakyat yang ditimpa kesusahan.

"Seronok sangat sebab biasanya hanya dapat lihat baginda di kaca televisyen tetapi hari ini dapat berjumpa bertentang muka pula.

"Betullah kata pepatah di sebalik kesedihan pasti ada kegembiraan," kata ibu kepada empat anak ini.

Seorang warga emas, Timah Ngah berkata beliau berjalan kaki sejauh kira-kira 500 meter pada pukul 12 malam semalam setelah rumahnya dinaiki air paras pinggang.

"Walaupun letih, sedih dengan kemusnahan harta benda, Tok tetap bersyukur kerana menerima banyak bantuan kerajaan semasa musim banjir ini," katanya.- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud