ARTIKEL SEBELUM

5/12/12

“Untuk berubah, UMNO kena jadi pembangkang!”-Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: UMNO tidak mampu berubah melainkan dipilih menjadi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini kerana ia memberi mereka kelebihan untuk melaksanakan proses “transformasi” dengan telus dan jujur.

Justeru, proses “mengubah UMNO kepada pembangkang” juga akan mewujudkan asas yang lebih kukuh dan kuat untuk proses demokrasi berparlimen yang lebih matang dan kompetitif.

Menyimpulkan realiti sebenar pada Perhimpunan Agung UMNO ke 66 baru-baru ini, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, UMNO tidak mampu berubah dan ianya sudah dibuktikan dalam ucapan pemimpin mereka pada dalam perhimpunan terbabit.

Dalam kenyataannya, beliau memberi contoh bagaimana Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil membangkitkan mengenai tragedi “13 Mei”, ia termasuk ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri perihal “huru-hara” yang akan berlaku jika UMNO tewas.

Semua kenyataan itu jelasnya bercanggah sama sekali dengan apa yang dikatakan Najib apabila ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno itu menyebut bahawa pilihan raya kali ini akan mencorakkan rupa wajah Malaysia samaada sebagai sebuah negara yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.

“Persoalan yang bermain di fikiran rakyat Malaysia adakah UMNO-BN mempunyai kewibawaan dan legitimasi untuk merayu kepada rakyat supaya menyokong untuk “berkongsi nilai dan matlamat” biarpun tiada “perkongsian nilai dan matlamat di dalam BN?” soal beliau.

Apapun jelas Kit Siang, fitnah jahat, sandiwara, janji dan mainan politik kotor ini adalah bukti mutlak bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak mampu melaksanakan janji “transformasi” beliau.

“Tidak ada apa yang akan berubah apabila sama ada Najib atau mana-mana perwakilan UMNO gagal mengetengahkan masalah nombor satu negara iaitu rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang makin membarah.

“Sebab itu jika UMNO benar-benar mahu berubah dan melakukan transformasi, mereka perlu menjadi pembangkang!” tegas Kit Siang

Antara wibawa UMNO-BN dan wibawa PR

Dalam perkara berkaitan, Kit Siang menjelaskan bahawa penguasaan berterusan UMNO-BN terhadap Malaysia tidak akan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadi “negara demokrasi terbaik dunia” sepertimana menjadi slogan 1Malaysia yang dijaja Najib sendiri.

Contohnya, UMNO-BN secara terbuka menanam kebencian dan konflik dengan mesej yang saling bercanggah dengan memomokkan orang Melayu bahawa jika mengundi DAP itu bermakna mengundi untuk penindasan orang Melayu, manakala MCA pula memberi amaran kepada orang Cina bahawa mengundi DAP bermakna mengundi penindasan orang Cina.

Bagaimanapun, jelas Kit Siang, lain pula dengan apa yang diamalkan parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

“PR tidak menyembunyikan perbezaan ideologi dan komited dengan Kerangka Dasar Bersama PR untuk menegakkan kedaulatan ciri dan dasar perlembagaan Malaysia, menyemarakkan kesatuan kebangsaan, memulihkan demokrasi dan keadilan dan memastikan tadbir urus yang baik,

“Kami juga terikat dengan prinsip bahawa perlu ada kesepakatan di kalangan tiga parti komponen PR sebelum sebarang perubahan dan dasar dipersetujui.” ujarnya.-Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud