(Oleh Aisha Geofrrey)
KUALA LUMPUR 24 Dis: Seorang saksi yang turut mengikuti Kembara Oren ‘Selamatkan Felda’ Negeri Sembilan semalam kesal apabila polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) langsung tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan samseng Umno ke atas kumpulan itu.
Rebin Birham yang juga Setiausaha Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN berkata, sikap pihak berkuasa amat mendukacitakan, walaupun peserta konvoi dipukul, dipijak dan diserang dengan pelbagai objek keras, tetapi serangan itu hanya mampu dilihat dan dibiarkan oleh polis.
“Felda Bukit Rokan Barat dan Utara, dan di Tampin, paling teruk berlaku provokasi. Penyokong Umno awal-awal sudah menunggu dengan bangga mengibarkan bendera BN, sambil memegang kayu, besi dan batu besar,” jelasnya kepada Keadilan Daily.
“Apa yang lebih menyedihkan apabila pasukan Rela turut membantu mereka membawa bendera tersebut,” kata Rebin yang juga Naib Ketua KEADILAN Cabang Jempol.
Menurut Rebin, pihak konvoi diberitahu serangan itu mendapat arahan pihak pengurusan Felda, yang mengarahkan penyokong Umno, pihak berkuasa dan anak muda Felda agar menghalang kembara dari memasuki kawasan tersebut.
“Saya percaya sebahagian besar mereka yang menyerang itu adalah remaja belasan tahun yang diupah. Kami tak lawan, kami cuma bertahan, itu yang menjadikan keadaan kami teruk diserang,” jelasnya.
Akibat serangan itu, Ketua Penerangan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Naraza Muda cedera di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan sebatang kayu yang tajam.
Jurukamera yang berdiri di bahagian belakang pacuan empat roda turut dipukul sehingga jatuh dari kenderaan lalu dipijak, selain cermin depan dipecahkan.
“Jelas Umno sangat terdesak. Mereka takut kita sampaikan maklumat yang benar tentang penyelewengan mereka kepada orang Felda,” kata Rebin.