GOMBAK 5 DISEMBER: Seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera ditikam samseng Umno pada program Jelajah Merdeka Rakyat di Parlimen Gombak malam tadi.
Mangsa luka di bahu kiri akibat tikaman yang dipercayai menggunakan senjata – kerambit, sebelum dirawat petugas KEADILAN.
Ia berlaku ketika sekumpulan samseng Umno yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini.
Kumpulan samseng Umno yang sebahagiannya didakwa sebagai pesilat, selain berbuat bising menggunakan kata kesat turut melempar batu ke tapak ceramah.
Mengulas kejadian itu ketika berpidato, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras perbuatan zalim itu.
“Ikut sejarah Islam, yang baling batu ini siapa? Puak Jahiliyah!” katanya yang turut mendesak polis menjalankan siasatan sehingga pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
“Kalau tak ambil tindakan, saya sendiri datang cari Ketua Polis (Daerah) Gombak,” katanya dengan nada tegas.
Beliau juga meminta penyokong Pakatan tidak membalas kezaliman itu, sebaliknya menjaga akhlak dan istiqamah dalam perjuangan.
“Kalau kita pun balas baling batu, kita sama dengan mereka. Kita nak menang jaga akhlak, Kita nak menang pertahan Semangat Perlembagaan” katanya.