SHAH ALAM 22 DIS : Kes aktivis mahasiswa yang dipenjarakan semalam adalah bukti bahawa polis dan pihak berkuasa mengamalkan sikap berbeza terhadap parti politik Pakatan Rakyat dan Umno-BN.
Ini dapat dilihat apabila aktivis pro-Umno-BN yang melakukan keganasan terhadap pemimpin dan penyokong PR dibiarkan tetapi aktivis pro-PR dihukum dan dipenjarakan.
“Apakah ini merupakan tindakan sengaja pihak polis ataupun keputusan Jabatan Peguam Negara yang tidak mengadakan pertuduhan.
“Ini adalah persoalan yang tidak terjawab sehingga sekarang mengapa perkara ini dilengah-lengahkan,” kata Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata sehingga kini, polis masih tidak menjalankan tindakan susulan terhadap kes insiden membaling cat ke arah Bas Jelajah Merdeka di Melaka dan Kota Baru.
Malahan masih tiada tangkapan atau dakwaan dalam insiden pergaduhan di ceramah PR di Batu 8, Gombak pada 4 Dis sehingga mencederakan seorang aktivis PR.
Akan tetapi, mahasiswa Umar Mohd Azmi, yang merupakan aktivis ‘Occupy Dataran’, telah dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM 1,000.
Di laporkan bahawa mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Umar kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas semasa serbuan terhadap gerakan mahasiswa pada April lalu.
Umar didakwa di mahkamah itu pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.
Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.
Timbalan Presiden Anwar Ibrahim Club Malaysia, Al-Azadi Aljohari berkata, keputusan memenjarakan Umar adalah tragedi hitam dalam perjuangan anak muda dan mahasiswa di negara ini.
“Keringat dan perjuangan Umar Mohd Azmi untuk melihat suatu sistem pendidikan percuma yang dapat dinikmati anak petani, nelayan, pesawah, golongan menengah dibayar dengan hukuman penjara,” kata Azadi dalam kenyataan media.
Katanya, pada April 2012, aktivis Mahasiswa telah mengadakan ‘Occupy Dataran’ untuk memaksa pemerintah memberi pendidikan universiti percuma.
Ujarnya, anak muda dan mahasiswa merupakan ‘human capital’ negara yang perlu ditatang dengan sistem yang dapat membantu pertumbuhan minda itu sendiri.