KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berbentuk permintaan dan harapan agar diberikan ruang untuk muncul sejam di TV1 dan TV3.
Ini bagi menjelaskan segala isu yang berbangkit daripada apa yang disebut-sebut oleh ramai pihak khususnya dimainkan oleh media proksi BN sebagai “Amanat Haji Hadi”.
Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, DMPP melihat bahawa pendirian Presiden PAS ini adalah sangat berani, wajar dan bertanggungjawab.
“Pendirian dan sikap ini juga secara tidak langsung membuktikan kepada kita semua bahawa Presiden PAS adalah di pihak yang benar, selari dengan pepatah Melayu ‘berani kerana benar’,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, laporan Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa Presiden PAS terus membisu daripada memberi respons terhadap isu itu juga barang kali sudah sampai ‘buku bertemu ruas’ dan sepatutnya pihak media proksi BN dan Umno seperti TV1, TV3 dan Utusan menerima perkembangan ini ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’.
“Kami yakin dan percaya bahawa ini adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pihak khususnya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan parti politik untuk mendengar sendiri penjelasan daripada YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,” ujarnya.
Justeru itu, katanya DMPP mendesak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Penerangan yang bertanggungjawab ke atas TV1 dan seterusnya pihak Media Prima yang bertanggungjawab ke atas TV3 segera menyahut ‘permintaan’ Presiden PAS yang dikira cukup gentleman itu.
Katanya, keupayaan dan kesungguhan kedua-dua pihak terbabit iaitu TV1 dan TV3 bagi memenuhi permintaan Presiden PAS ini juga akan menjadi tanda aras bahawa kedua-dua pihak berkenaan siap untuk memberi laluan kepada pimpinan utama daripada parti politik selain daripada pihak BN.
“Kita semua tahu TV1 dan TV3 sangat ghairah memainkan isu ini, maka ini adalah peluangnya mereka menunjukkan keberanian mereka pula. Jangan hanya berani ‘lontar batu sembunyi tangan’.
“Bertanggungjawablah dengan apa yang telah kalian laporkan secara fitnah, adu domba dan sangat berniat jahat,” katanya. - harakahdaily