(Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 24 NOV: Kerajaan Umno BN didesak membatal Mahindra Rajapaksa ke Malaysia berikutan Presiden Sri Lanka itu dilabel penjenayah antarabangsa selepas terlibat membunuh 200,000 rakyat negara berkenaan.
Jurucakap Angkatan Prihatin Insan Mangsa Perang Sri Lanka (API), Raja Retinam kesal kerana Datuk Seri Najib Razak memberi layanan ‘karpet merah’ kepada Rajapaksa.
“Dalam 50 tahun, hampir 200,000 orang, kebanyakannya masyarakat Tamil, dibunuh dan 500,000 lagi hilang tempat tinggal. Ini berlaku Sri Lanka, tidak jauh dari Malaysia.
“Mereka jadi pelarian di merata negara termasuk Malaysia. Kenapa Perdana Menteri tak faham (dan) beri layanan karpet merah?” katanya ketika ditemui pada perarakan aman di Brickfields hari ini.
Seramai 50 orang menyertai perarakan aman membantah kehadiran Rajapaksa. Laporan polis turut dibuat tentang perkara ini di Balai Polis Jalan Travers.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir adalah Naib Presiden KEADILAN N Surendran, Ahli Parlimen Kapar S Manickavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, S Manogaran.
April lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan laporan mengenai sejumlah 40,000 masyarakat Tamil Sri Lanka dibunuh pada 2009 oleh kerajaan pimpinan Rajapaksa.
Rajapaksa antara lima pemimpin termasuk Najib yang dijadual berucap pada forum anjuran Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia di Johor Bahru 4 hingga 6 Desember ini.
Mengulas lanjut, Raja Retinam mempersoal sikap berat sebelah kerajaan Umno BN apabila menentang pembunuhan besar-besaran di negara lain tapi hanya membisu dalam isu itu.
“Rajapaksa dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu jenis orang sama. Jika kita kata tidak kepada Netanyahu, kita juga kena kata tidak kepada Rajapaksa.
“Jadi Najib harus keluarkan kenyataan segera tentang isu ini. Saya gesa wakil masyarakat India dari BN bawa usul membantah kehadiran Rajapaksa. Saudara kita dari Pakatan sudah cuba tapi ditolak,” katanya.
Setiausaha Agung API S Gobi Krishnan berkata, kerajaan Umno sekali lagi mengguris perasaan masyarakat India apabila membenarkan Rajapaksa datang ke sini.
“Kami membantah sekeras-kerasnya kehadiran Rajapaksa. Kami akan gunakan apa saja cara untuk sekat kemasukan beliau,” kata Setiausaha Biro Polisi dan Antarabangsa KEADILAN itu.
Pada 27 November ini, API bercadang mengadakan perhimpunan di Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan agar kerajaan membatalkan kehadiran Rajapaksa ke Malaysia.