Tidak mungkin Pas tumpas

Yahaya (kiri) berkata sesuatu kepada Abdul Hadi pada satu majlis anjuran Pas.
KUALA TERENGGANU –  “Tidak mungkin!” Demikian tegas Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali berhubung keinginan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kedudukan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Walau siapa sahaja individu dicalonkan BN di kerusi terbabit, beliau yakin kepimpinan Pas akan tetap mempertahankan kerusi yang kini disandang presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, walaupun kerusi Parlimen Marang pernah jatuh ke tangan BN sebelum ini, beliau berkeyakinan keupayaan Pas untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan tidak harus dipandang ringan pihak lawan.

“Saya penuh keyakinan, ‘no way’ (tidak mungkin dapat dirampas BN)! Keputusan seterusnya, ALLAH SWT yang tentukan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Yahaya berkata, tidak kira sesiapa sahaja calon BN, sejarah pilihan raya umum lalu menggambarkan rakyat mahukan perubahan besar, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi negara.

Tidak hairan dengan pendirian BN

Beliau juga seolah-olah tidak hairan dengan pendirian BN negeri yang turut memperlihatkan keyakinan mendapatkan Parlimen Marang dengan menyifatkannya tidak lebih sebagai perang saraf untuk menampakkan kekuatan BN di parlimen tersebut.

“Orang parti memang macam itu. BN akan kata yakin (rampas Parlimen Marang) dan kalau tanya saya, saya juga yakin tetapi dengan perkembangan yang ada, insya-Allah kita yakin (pertahan kemenangan),” katanya.

Yahaya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu memberitahu, ada sesuatu dalam kepimpinan BN yang menyebabkan rakyat menolak parti itu pada pilihan raya umum nanti.

Keadaan itu boleh berlaku kerana rakyat sudah bijak menilai kepimpinan parti untuk membawa hala tuju negara ke arah yang lebih baik selain pemimpin yang perlu ditonjolkan di Parlimen.

“Sedangkan Umno berdasarkan projek dan antaranya boleh dipertikai sebagaimana yang pernah kita sebutkan sebelum ini khususnya di Terengganu,” katanya.

Abdul Hadi perlu tanding

Berdasarkan perkembangan politik terkini, beliau berkata, wujud pergerakan yang sentiasa berkembang dari masa ke masa di negeri ini walaupun tidak sehebat PRU 1999.

Menurutnya, gelombang pergerakan rakyat itu aktif di Pantai Barat dan bergerak seiring di kawasan Pantai Timur.

“Secara umumnya, kita nampak perkembangan gelombang ini di Pantai Barat nampak hebat,” katanya.

Ditanya sama ada Abdul Hadi kekal dicalonkan di kerusi tersebut, Yahaya berkata, sebagai Presiden parti selayaknya Abdul Hadi mempertahankan kerusi berkenaan dalam usaha Pakatan Rakyat (PR) menuju ke Putrajaya.

Menurutnya, walaupun soal calon belum dimuktamadkan kepimpinan, namun beliau melihat presiden parti perlu bertanding untuk mempertahankan kerusi yang sekian lama disandang.

“Kalau tanya saya, sebagai presiden, selayaknya beliau pertahankan kerusi berkenaan. Macam mana kita mahu menuju ke Putrajaya kalau presiden tidak bertanding,” katanya.

Giant Killer sudah hilang taring

Sementara itu, mengulas berhubung Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang pernah menewaskan Abdul Hadi sehingga digelar ‘Giant Killer’, beliau berkata, zaman kegemilangan pemimpin tersebut sudah berlalu.

Keadaan itu secara tidak langsung memperjelaskan bahawa kepimpinan Pas melihat Abdul Rahman sudah ‘hilang taring’ untuk melawan Abdul Hadi.

“Setiap pemimpin ada zaman masing-masing, zaman gemilang dan zaman merudum. Bagi saya, sekarang ini, Datuk Abdul Rahman Bakar bukan zaman dia. Dia bukan lagi pemimpin sebagaimana dahulu, bukan lagi Ketua Umno Bahagian,” katanya.

Bagaimanapun, Yahaya berkata, terserah kepada Umno dan BN mempertaruhkan mana-mana calon untuk melawan calon Pas di kerusi Parlimen terbabit.

Pada pilihan raya umum lepas, Abdul Hadi menewaskan calon BN, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir di kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 2,747 undi. ~ SH