ARTIKEL SEBELUM

1/10/12

Siasat dalang pengeluar kad pengenalan palsu

Harakahdaily,01 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius dakwaan terdapat warganegara asing mudah mendapatkan hak kerakyatan serta hak mengundi di negara ini.

Ini berikutan pengakuan seorang warga asing bernama Hasanuddin bin Manna yang mengaku membeli Mykad palsu dengan harga RM1,000.00.

“Bahkan nama beliau juga wujud dalam pengkalan data SPR dan menjadi pengundi yang sah,” kata Ketua Penerangan DPPPM, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Menurutnya, meskipun hanya seorang individu yang ditangkap dan dihukum, ia cukup menimbulkan kesangsian bahawa wujudnya skandal pemberian kad pengenalan palsu.

“Apakah ada sindiket yang menjalankan aktiviti mengeluarkan dan menjual kad pengenalan palsu kepada warga asing dan mungkinkah jumlahnya beribu orang kes seperti ini yang belum dibongkarkan?” soalnya.

Bagi DPPM, ujarnya kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

Katanya, kedaulatan negara sudah boleh dijual beli sesuka hati kepada sesiapa sahaja demi kepentingan pihak tertentu, seolah-olah ada suatu usaha secara terancang dan teratur yang dijalankan oleh segelintir pihak dengan niat tertentu.

Tegasnya, DPPM bimbang jika gejala ini tidak disekat, akan menularnya perbuatan jenayah dan gejala sosial yang tidak terkawal di negara ini. Lebih dari itu, ia adalah suatu pencabulan dalam hak demokrasi di negara ini.

Tambahnya, warga asing didaftarkan sebagai pemilih dan dibenarkan menentukan kerajaan serta pemimpin dalam negara ini.

Katanya lagi, keselamatan negara boleh terjejas dengan kebanjiran warga asing di mana-mana yang mampu mendapat kad pengenalan palsu secara mudah.

Justeru, tegasnya DPPM mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terlibat dan mengheret mereka ini ke muka pengadilan supaya ianya tidak lagi berlaku di masa hadapan.

Selain itu, kata beliau DPPM juga mendesak kerajaan menyiasat jumlah pemilih dari kalangan warga asing yang didaftarkan dalam rekod SPR serta membersihkannya sebelum pilihan raya umum ke-13.

“Sia-sia rakyat menyertai pilihan raya jika masa depan negara ditentukan oleh warga asing yang mempunyai hak yang sama dengan warga tempatan,” tegasnya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud