Oleh Subky Latif
TIADA yang lebih lucu dalam politik kerajaan Barisan Nasional selain dari amaran Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob untuk membatalkan membekalkan air ke Selangor kiranya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak rancangan kerajaan pusat.
Amaran MB Pahang itu dikira satu ugutan kepada kerajaan Selangor. Kiranya Selangor berkeras dengan sikapnya dalam isu air ini, maka kerajaan Pahang akan membatalkan persetujuannya untuk membekalkan air ke negeri jirannya itu.
Semua tertawa lucu dengan amaran itu.
Adakah Adnan merasakan kerajaan hendak sangat air dari Pahang itu yang menyebabkan ia akan membayar kira-kira 80 juta setahun kepada Pahang.
Kerajaan Selangor seronok sangat kalau Adnan membuat keputusan itu. Kurang tapak tangan, akan ditadah nyiru oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.
Jika benar Adnan anak jantan, dia umumkan pembatalan itu sekarang! Nescaya pertikaian antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor selesai kiranya kerajaan Pahang bertindak demikian.
Tidak berbangkit lagi isu pembinaan Langat-2 yang menurut Timbalan Perdana Menteri ia akan diteruskan tidak kira Selangor setuju atau tidak setuju dengan rancangan kerajaan pusat atas isu itu. Malah kerajaan pusat memang bernafsu untuk membuka tender pembinaan Langat-2 itu.
Memang kita nampak siapa yang hendak membida tender Langat-2 itu dalam keadaan kerajaan Selangor tidak member laluan. Selangor tidak sedia membenarkan buminya digunakan untuk projek itu.
Jika Langat-2 ditender juga, maka yang masing-masing nampak ruang yang kerajaan pusat boleh gunakan ialah ruang udara dari Pahang ke loji Langat-2 itu di mana-mana tanah milik kerajaan pusat di Langat.
Kerajaan pusat terpaksa menggunakan teknologi yang tidak menggunakan tiang buat projek itu sepanjang dari sempadan Pahang-Selangor hingga ke tapak Langat-2 itu. Sebagaimana langit dibina tanpa tiang, maka demikian juga Langat-2.
Selangor telah menyatakan ia tidak membenarkan tanah di negeri itu digunakan untuk projek itu. Tentulah ia tidak akan membenarkan tiang-tiang projek itu menggunakan tanahnya bagi tapak tiang–tiang yang diperlukan.
Dengan dasar Selangor yang demikian siapakah yang sedia untuk membida projek itu?
Pihak yang paling keciwa jika Adnan Yaakob membatalkan pembekalan air itu ialah keraaan pusat yang membuat propaganda untuk membina juga projek itu sama ada Selangor setuju atau tidak.
Untuk apa lagi Langat-2 itu jika Pahang membatalkan pembekalan airnya?
Selangor pada masa ini tidak memerlu bekalan air dari luar baik yang sudah dirawat mahupun tidak. Negeri Selangor cukup air untuk keperluan penduduknya jika sumber air yang banyak itu dirawat.
Kebarangkalian Selangor putus bekalan air bukan kerana negeri yang setiap hari hujan itu tidak cukup air tetapi ialah pihak yang diberi tanggungjawab tidak merawat air yang banyak itu.
Pertikaian isu air ini berlaku pada ketika adanya kemajuan teknologi merawat air laut dan sungai yang amat canggih.
Singapura dan Israel sudahpun memanfaat teknologi yang canggih itu bagi menggunakan air laut untuk keperluan penduduknya. Jepun dan lain-lain negara maju tentu sudah mengirim orang ke Selangor bagaimana air pantai Selat Melaka di Selangor itu boleh menjadi alternatif kepada air Pahang atau kiranya berlaku kemarau.
Jika benar Adnan hendak bertindak, tiadalah yang lebih gembira selain dari Tan Sri Khalid Ibrahim. Kerajaan Selangor rasanya dengan senang hati mempersilakan Adnan Yaakob buat apa saja yang patut.