GEORGETOWN - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mengesahkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bekas Ketua Penerangan PKR negeri itu berkata, persiapan untuk menjadi calon pada PRU13 sudah dilakukan dan kini bersedia berhadapan dengan mana-mana calon DAP atau calon lain yang bertanding di kerusi yang menjadi pilihannya.
Beliau berkata, faktor utamanya memilih untuk bertanding kerusi Dun adalah untuk menang seterusnya berdepan dengan Guan Eng dalam sidang dewan.
“Sasaran saya memang untuk menang supaya boleh berdepan dengan Guan Eng dalam sidang Dun. Saya boleh berdebat dengannya mengenai pelbagai isu yang timbul di negeri ini.
“Namun saya tidak mahu mendedahkan secara terperinci kerusi yang akan ditandingi kerana mahu ia menjadi kejutan. Apa yang boleh saya katakan mungkin kerusi dalam kawasan Parlimen Bukit Bendera,” katanya pada sidang media disini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak akan bertanding kerusi Dun Air Putih yang kini diwakili Guan Eng kerana agak sukar untuk menumbangkannya dalam keadaan sekarang.
Menurutnya, beliau akan menggunakan simbol bebas atau Barisan Nasional (BN) jika bertanding nanti.
Pada 2 Mac 2010, Tee Beng mengumumkan keluar dari PKR berkuatkuasa serta merta kerana “kecewa dengan kepimpinan parti itu.”
Beliau mengambil keputusan itu kerana kesal dengan sikap kepimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu memastikan impian mereka tercapai. ~ Sinar harian