(Cindy Lee Garcia )
CARLIFORNIA: Seorang pelakon Amerika Syarikat yang membintangi filem kontroversi yang menghina Nabi, "Innocence of Muslim", telah menyaman pengarah filem itu dan YouTube.
Dalam aduan yang difailkan di mahkamah California Rabu lalu, Cindy Lee Garcia, membuat tuduhan atas kes penipuan, fitnah dan gangguan emosional secara sengaja.
Beliau mensasarkan Nakoula Basseley Nakoula, seorang Kristian Koptik Mesir berusia 55 tahun yang telah disabitkan kesalahan menipu – dibebaskan dari parol - yang tinggal di Los Angeles dan telah mengaku membikin filem tersebut.Media Amerika Syarikat berkata Nakoula menulis dan mengarah filem tersebut menggunakan nama samaran Sam Bacile sebelum dia dikenal pasti.
"Encik Bacile menerangkan kepada Garcia bahawa filem itu adalah berkenaan pengembaraan di zaman Mesir kuno," lapor saman itu.Beliau telah disoal semalaman Jumaat lalu oleh pihak polis sebelum bersembunyi bersama keluarganya.
'Dia mempermainkan kami
Seorang lagi pelakon memberitahu CNN Isnin lalu beliau menandatangani projek tersebut – yang asalnya bertajuk "Pahlawan Padang Pasir" dengan watak utama bernama George - dalam satu respons kepada notis pelakon di laman web Craigslist.
Lily Dionne, yang baru tiba di Hollywood untuk meneruskan kerjaya lakonannya, berkata Nakoula tampak berkuasa penuh dalam projek tersebut."Beliau mempunyai visi, dia mahu sesuatu dengan cara tertentu," kata Dionne. "Dia tahu apa yang dia lakukan. Dia mempermainkan kami selama ini."
Berkenaan plot, Dionne berkata: "Kami tertanya-tanya filem mini ini berkenaan apa. Mereka selalu menjawab 'George'. Seperti ini adalah Timur Tengah 2,000 tahun yang lepas. Siapa 'George'? "
Kemudian, apabila projek itu di peringkat pasca produksi, Dionne dan pelakon lain telah dipanggil untuk merakam "kata-kata tertentu, seperti Muhammad, contohnya. Ia telah diasingkan. Ia bukan dalam konteks".
Seorang lagi pelakon, Anna Gurji, memberitahu bagaimana dia diujibakat tahun lepas bagi watak sampingan dalam apa beliau panggil "filem bebas dengan bajet rendah, tentang komet jatuh ke padang pasir dan puak-puak purba berperang merebut komet tersebut."
"Setahun kemudian, filem tersebut telah dialih suara [tanpa kebenaran pelakon], skrip telah diubah secara drastik dan filem tersebut bertukar menjadi filem yang menghina Islam," katanya.
"Malah nama-nama watak juga berubah. Dan watak yang saya berlakon bersama, George, menjadi Muhammad," tambah beliau, dalam sepucuk surat kepada penulis British, Neil Gaiman, yang memaparkannya di blog.
Lebih daripada 30 orang telah terbunuh dalam serangan dan protes ganas yang dikaitkan dengan filem tersebut.
dipetik dari Harakahdaily.com