ARTIKEL SEBELUM

26/08/12

Khutbah Raya: Pihak mana sebenarnya berpolitik

KOTA BHARU: Usaha pihak tertentu cuba mengaitkan Dewan Ulamak PAS menyediakan khutbah Aidilfitri kononnya mengajak perpecahan, akhirnya mendedahkan pekung sebenar.

Antara lain khutbah disediakan pihak tertentu menyebut, "Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan".

Bagi banyak pihak ia jelas ditujukan kepada BERSIH 3.0 yang dituduh sebagai pencetus pergaduhan dan perbalahan.

Selain itu khutbah yang dikeluarkan pihak berkenaan juga mengajak orang ramai menyedari bahawa Malaysia bukan Mesir, Malaysia bukan Syria, Malaysia bukan Pakistan, Malaysia bukan Iran.

Gerakan Anak Muda Tolak Umno (AMTU) mempersoalakan apakah tujuan petikan itu dimasukkan dalam khutbah Hari Raya.

“Tidakkah ini bahasa pemimpin Umno yang seringkali berhujah agar dipertahankan kerajaan Malaysia yang sedia ada biar pun terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa,” kata setiausaha AMTU, Muhammad Hanif Wan Ahmad.

Kata beliau pihaknya mendapati teks asal yang dibekalkan pihak berkuasa agama kepada imam pada Aidilfitri lalu jelas mempunyai mesej politik kepartian.

Menurutnya ia sangat jelas dan dapat difahami tanpa sebarang keraguan.

“AMTU melihat pihak yang bertanggungjawab menyedia teks tersebut menjadi alat politik murahan dengan mengambil kesempatan di atas tanggungjawab yang dipikul untuk menyebarkan dakyah politik jahat.

“Jika sebelum ini ada imam dikenakan tindakan kerana memegang jawatan dalam parti politik, maka apakah bezanya tindakan pihak yang bertanggungjawab mengambil sikap untuk berpihak di atas mimbar,” katanya di sini.

Sebelum ini anggota parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan mendakwa Dewan Ulamak PAS menyediakan teks khutbah Aidilfitri berunsur politik dan mengajak kepada perpecahan. Begitu juga Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga cuba menunding jari kepada PAS.

Baru-baru ini Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub memberitahu ramai imam di kampung mengubah suai teks khutbah disediakan Maik memandangkan sikap berpihak dipamerkan dalam teks asas khutbah berkenaan.

Manakala teks khutbah disediakan Dewan Ulamak PAS membicarakan isu menentang kezaliman dalam negara adalah jihad yang paling afdal, di mana isu disentuh secara umum.

Hanif berkata, banyak petikan dalam teks khutbah pihak berkuasa agama yang bukan berada di bidang kuasa kerajaan negeri itu mengandungi mesej politik kepartian bertujuan menjayakan agenda politik golongan tertentu.

“Benar Islam dan politik tidak boleh dipisahkan, tetapi bukannya membawa mesej politik kepartian untuk diwajibkan kepada imam membacanya di atas mimbar masjid.

“Melakukan tindakan sebegini ialah satu tindakan tidak bermaruah. Siapakah yang bemain politik sebenarnya?

“AMTU mengingatkan pihak-pihak yang bertanggungjawab menyediakan teks khutbah itu agar tidak melakukan tindakan yang dilihat memperkudakan mimbar khutbah demi politik murahan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, AMTU yakin tindakan tersebut tidak direstui Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan.
Harakahdaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud