Isteri kepada ketua menteri Pulau Pinang, Betty Chew menafikan bahawa suaminya itu, Lim Guan Eng mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Akhbar tersebut memetik kenyataan Chewdi Pulau Pinang, yang antara lainnya turut menafikan bahawa beliau pernah menyerang wanita tersebut.
"Suami saya tidak ada hubungan sulit dengan bekas stafnya dan saya juga tidak pernah menyerang wanita itu atau orang lain berkenaan hal ini.
"Jika benar, kenapa sehingga hari ini MCA tidak mengemukakan bukti yang saya pernah menyerang sesiapa," katanya seperti dipetik dalam akhbar edisi hujung minggu itu.
Laporan itu timbul ketika tumpuan pada waktu ini terarah kepada pusingan kedua debat di antara Lim dan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang akan berlangsung petang ini.
Isu berkenaan ditimbulkan dalam satu persidangan DUN Melaka yang kecoh pada Isnin lalu apabila seorang wakil rakyat BN meminta Chew menjawab dakwaan berkenaan.
Chew tetap enggan menjawab dakwaan tersebut walaupun berkali-kali diasak oleh ADUN Duyong, Datuk Gan Tian Loo yang antara lainnya mendakwa, isu berkenaan banyak dipaparkan dalam blog tempatan.
Insiden ketika Gan mengemukakan soalan tersebut turut dibenarkan oleh Yang Dipertua DUN tersebut, untuk dirakam oleh stesen TV dan juga akhbar, yang menimbukan kemarahan wakil rakyat DAP.
Kelima-lima wakil rakyat DAP berkenaan seterusnya digantung enam bulan daripada persidangan DUN susulan protes yang dilancarkan mereka pada keesokan harinya.-Mkini.com