Ariel Peterpan dibebaskan: Peminat serbu penjara
BANDUNG – Selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara tiga setengah tahun kerana kesalahan mengedar video pornografi, Ariel Peterpan dibebaskan dari penjara 9 pagi ini.
Pembebasan bersyarat kepada vokalis kumpulan muzik pop Peterpan yang berusia 31 tahun itu, diberikan pihak berkuasa setelah dia menjalani hukuman dengan berkelakuan baik.
Antara syarat yang ditetapkan ialah Ariel tidak boleh lagi mengulangi perbuatannya dan diwajibkan melapor diri ke penjara secara rutin sehingga dibebaskan secara mutlak pada 21 September 2013.
Anggota polis menghadapi cabaran mengeluarkan Ariel dari pintu utama Penjara Kebon Waru di sini kerana terpaksa menempuh laluan yang sesak dengan peminat fanatik penyanyi itu serta wartawan, jurufoto dan jurukamera TV yang membuat liputan pembebasannya.
Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun dan denda Rp250 juta oleh Mahkamah Daerah Bandùng pada 31 Januari tahun lalu selepas didapati bersalah mengedar video pornografi di mana beliau sendiri dipercayai sebagai pelakunya bersama dua orang artis wanita iaitu Cut Tari dan seorang lagi yang dipercayai sebagai Luna Maya. – BERNAMA