KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu menyelar kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berhubung kebimbangan beliau terhadap penglibatan artis-artis yang berhijrah ke pentas Pas.
Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, Ahmad Razif tidak sepatutnya menunjukkan sikap buruk sangka terhadap penghijrahan itu kerana ia boleh membantutkan hasrat orang lain yang mahu melakukan perkara sama.
Sebaliknya, katanya, Kerajaan Negeri patut memanfaatkan artis terbabit ke arah kebaikan.
“Kita berpendapat Kerajaan Negeri sepatutnya memanfaatkan artis sebegini untuk mendekati dan mempengaruhi pelajar ke arah kebaikan dan bukannya menjemput artis-artis yang mengadakan hiburan pentas sahaja yang terbukti sebenarnya memberi pengaruh yang buruk dalam masyarakat,” katanya.
Sinar Harian Ahad lalu melaporkan bahawa tindakan segelintir pihak terlalu menonjolkan artis atau selebriti yang melakukan penghijrahan di pentas ceramah sebagai daya tarikan, dikhuatiri akan memberi kesan terhadap struktur pendidikan yang telah dirancang untuk membina kecemerlangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, hal ini kerana pendedahan dunia artis yang dilakukan itu dibimbangi akan menyebabkan golongan muda khususnya pelajar, terpengaruh.
Mengulas lanjut, Muhammad Zaidan berkata, pihaknya sedia memberi ruang kepada artis terbabit melalui pendekatan dakwah. Katanya pendekatan sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada orang ramai, malah kepada peminat setia yang ikut perkembangan artis itu.
“Pendengar juga dapat mengikuti kisah penghijrahan artis, manakala artis yang berhijrah ini akan berasa penghijrahan mereka disokong dan diterima peminat selain mendampingkan mereka dengan tokoh-tokoh agama,” katanya. Sebelum ini, beberapa artis melakukan penghijrahan dengan imej lebih islamik menjadi ahli Pas dan hadir ke program parti itu sebagai penceramah jemputan.
Antaranya Bob Lokman dan Aisyah, manakala Dayangku Intan pula menyertai PKR. - SHarian