GEORGETOWN 3 Jun: Arahan diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein untuk mengundurkan diri ekoran krisis kerugian RM30 bilion akibat urusniaga pertukaran asing pada 1992, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu, kata Anwar, Tun Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ketika itu mempertahankan skandal berkenaan, meskipun ia menyebabkan negara menanggung kerugian.
“Setelah lebih 20 tahun isu kerugian wang yang amat besar ini tidak mendapat tindakan yang sewajarnya dari pihak pemerintah yang diterajui oleh Barisan Nasional.
“Mereka sentiasa berasa selesa walaupun negara mengalami kerugian dalam transaksi tersebut,” kata Anwar ketika menjadi panel dalam Forum Skandal Forex Bank Negara, anjuran Penang Institute, di Dewan Sri Pinang, semalam.
Mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Dr.Rosli Yaakop, antara salah seorang panel dalam forum yang dikendalikan oleh Julian Candiah itu.
Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berkata, kerajaan menyatakan kerugian itu berlaku ‘di atas kertas sahaja’ dan desakan supaya melantik sebuah Suruhanjaya Diraja juga tidak diendahkan.
“Ini mempamerkan wajah sebenar penyangak dan mereka yang korup dalam mengendalikan wang negara,” katanya yang menambah isu mengenai spekulasi mata wang Yen dan Dollar Amerika bermula sejak 1989 lagi.
“Ini juga mereka tidak endahkan. Akhirnya apabila kehilangan wang negara yang begitu besar berlaku, tiada pihak yang berani untuk membawa ke muka pengadilan spekulator yang bertanggungjawab,” kata beliau.