Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempersoal tindakan kerajaan menganjurkan Himpunan Jutaan Belia 2012 minggu lalu yang dicemari program maksiat dan menyimpang jauh dari ajaran Islam.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, apa yang turut mengecewakan adalah kenapa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam tidak menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak supaya membatalkan segala aktiviti maksiat.
“DPPM menganggap Datuk Seri Jamil Khir turut bersekongkol dalam menganjurkan program maksiat ini.
“DPPM juga mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung sambutan Hari Belia yang diadakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Penganjuran sambutan Hari Belia itu yang bermula Rabu lalu dan berakhir semalam mencetus pelbagai reaksi negatif orang ramai.
Rata-rata mereka kecewa dengan program hiburan melampau yang dihidangkan kepada anak muda termasuk penampilan artis jemputan kumpulan wanita dari Korea, K-Pop yang mempersembahkan tarian berpakaian seksi dan menjolok mata.
“Dengan menampilkan artis seksi sebagai hidangan masyarakat, kerajaan menganggap itu sebagai suatu perkara yang biasa dan tidak ada salahnya.
“Mungkin inilah nilai wassatiyyah (kesederhanaan) yang hendak diterapkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Tambah Riduan, kerajaan seperti tidak kisah jika golongan belia hanyut dengan kelalaian dan rosak akhlak asalkan mencapai matlamat mereka untuk menarik kehadiran ramai belia.
“Apakah mesej yang hendak disampaikan dari penganjuran program maksiat seperti ini?
“Adakah konsert ini akan membina sebuah masyarakat yang sihat, berakhlak mulia dan berminda positif atau menjadikan generasi muda lebih liar dan jauh daripada agama Islam?
Tegas Riduan, apa yang berlaku dalam Sambutan Hari Belia itu hanya mengesahkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti untuk umat Islam berpaut, tetapi Islam semakin tersisih dan terpinggir di bawah pemerintahan Umno.