ARTIKEL SEBELUM

29/05/12

Nik Aziz yakin lebuh raya rakyat dapat siapkan

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kuala Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion akan dapat disiapkan mengikut jadual.
    
Mursyidul Am PAS itu berkata pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat.
    
"Kita yakin dapat melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun tidak sepenuhnya melalui sumbangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, hari ini. 
    
Nik Aziz mengulas kenyataan sesetengah pemimpin politik, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sangsi dengan kemampuan kerajaan PAS Kelantan membina lebuh raya melibatkan kos besar dan menyifatkannya sebagai gimik politik. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. 
    
Katanya lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).
    
"Pembinaannya berkonsepkan wakaf di mana kos pembinaan serta penyelenggaraannya dibiayai sebahagian daripada dana hasil sumbangan derma dan wakaf oleh rakyat dan syarikat swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.  

Semalam, Mustapa berkata, beliau tidak yakin kerajaan negeri dapat melaksanakan projek itu kerana ia melibatkan peruntukan besar dan pelaksanaannya di luar kemampuan kerajaan PAS. 
    
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Awang Adek Hussin pula berkata pembinaan lebuh raya melibatkan perbelanjaan yang besar dan tidak ada lebuh raya dilaksanakan oleh negeri secara persendirian. 
    
"Walaupun ada syarikat yang mampu, ia perlu membuat pinjaman daripada bank dan bank tentunya nak tahu syarikat itu nak ambil duit daripada mana untuk bayar balik pinjaman. 
    
"Kerajaan Kelantan hari ini pun banyak bergantung kepada kerajaan pusat dalam menggerakkan ekonomi negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan di Kota Bharu.  

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud