ARTIKEL SEBELUM

14/05/12

Skandal Scorpene: Peguam Perancis akan ke Malaysia lagi

KUALA LUMPUR 14 Mei: Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel memberitahu, peguam William Bourdon akan datang ke Malaysia selewat-lewatnya pada Jun depan, dengan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan kerja.
“Permohonan visa sedang dibuat dan kami berharap permohonannya masuk ke Malaysia tak ditolak. Sebagai anak guam, kami berhak dimaklumkan perkembangan kes ini,” katanya kepada Keadilan Daily.
Bourdon adalah salah seorang daripada dua peguam yang dilantik Suaram dalam perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis. Manakala seorang lagi peguam adalah Joseph Breham.
Pada 22 Julai 2011, Bourdon ditahan lebih lima jam bersama isterinya tanpa diwakili peguam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang serta merta.
“Kali ini, kerajaan Malaysia sepatutnya memberikan kerjasama. Apa pun percubaan menghalang, Suaram mesti bertemu Bourdon,” jelasnya.
Pendakwa awam Perancis yang menyiasat urus niaga pembelian Scorpene baru-baru ini menemui bukti bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Menteri Pertahanan meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk syarikat tempatan Perimekar daripada DCNI – anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.
Menurut kertas pendakwaan yang didedahkan Suaram, terdapat faksimili menunjukkan Najib meminta jumlah itu sebagai syarat mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.
Skandal pembelian Scorpene bernilai RM7.3 bilion oleh kerajaan Malaysia berlaku ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan pada 2002, di mana Perimekar memperolehi komisyen berjumlah RM457 juta.
Pada 20 April lalu, Hakim Penyiasat (Paris Tribunal Instance) Roger Le Loire menerima tujuh saksi yang dinamakan Suaram iaitu Razak Baginda, Zahid Hamidi, Balasubramaniam, Jasbir Singh, Lodin Wok, Najib Razak dan isteri Razak Baginda, Mazlinda Makhzan.
Sementara itu, Cynthia menambah, sebahagian dari 153 dokumen yang bakal diakses Suaram akan didedahkan kepada umum selepas pertemuan dengan Bourdon yang dijangkakan selewat-lewatnya Jun ini.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud