PETALING JAYA – Ada yang sanggup tidur semalaman sama ada di dalam kereta atau di kaki lima stadium semata-mata untuk mendapatkan borang permohonan tapak bazar Ramadan yang mula dijual semalam.
Tidak kurang yang hadir seawal jam 4 pagi untuk beratur untuk memastikan mereka mendapat borang.
Itu antara ragam yang dapat dilihat ketika kaunter penjualan borang bazar Ramadan dibuka di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini.
Rata-rata mereka yang ditemui berpuas hati apabila berjaya mendapatkan borang, tidak kurang yang pulang dengan tangan kosong selepas borang yang dijual habis dalam masa tiga jam sejak kaunter dibuka jam 9 pagi.
Mohd Hashim Salleh, 50, berkata, setiap tahun sejak empat tahun lalu dia tidak pernah ketinggalan mencari rezeki tambahan berniaga nasi lemak di bazar Ramadan Taman Medan.
“Saya bekerja hantar ikan ke pasar pada setiap pagi, masa terluang pada waktu petang pada bulan puasa saya gunakannya untuk berniaga,” katanya yang tidur semalaman di dalam kereta.
Seorang lagi peniaga, Mohd Husin Salleh, 40, berkata, jika tahun lepas dia berniaga putu piring pada tahun ini dia bercadang mahu berniaga burger bakar.
“Timbul idea hendak jual burger bakar kerana ia istimewa dan kini diburu, jadi saya berhasrat untuk menghasilkan burger istimewa pada kadar harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, berhubung penjualan borang permohonan itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, setakat ini 1,673 borang habis dijual.
“Tiada lagi borang dijual, jika ada yang berminat mereka boleh memohon selepas tarikh tutup 24 Mei akan datang sekiranya terdapat kekosongan,” katanya.
Menurutnya, MBPJ setakat ini bercadang menambah 20 tapak di Kelana Jaya jika ke semua lebih 200 tapak yang ditawarkan habis, begitu juga di Taman Medan.
Difahamkan kedua-dua kawasan adalah bazar Ramadan terbesar di Petaling Jaya.-sinar Harian