Subky Latif,
MENTERI Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil muncul setelah menghilang diri seketika dari kegawatan isu penggembalaan lembu oleh suami dan anak-anaknya rupanya menunaikan umrah.
Ia satu amal bagi mendekatkan diri kepada Allah, mengadu kepadaNya pada masa kepayahan, moga-moga dapat membersihkan diri atas sebarang salah silap dengan Allah. Mekah dan umrahlah tempat terbaik berdoa.
Bagaimana pun masalah dengan negara, rakyat saja yang dapat mengampunkan kiranya berdosa. Mengadu kepada Allah di Mekah melalui umrah atas kekecohan isu lembu itu, jika ada dosa mengenainya kena sebutkan kepada Allah dan minta Allah lembutkan hati sekalian rakyat untuk memaafkan.
Sekembalinya ke tengah masyarakat Shahrizat mengaku tidak bersalah atas kekecohan perniagaan suami dan anak-anaknya, bahkan dia semua pihak dikira menuding jari terhadapnya, iaitu pembangkang yang mendakwanya melanggar adab anggota kabinet dan orang-orang UMNO yang mintanya mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan kabinetnya.
Dia dalam kesusahan gara-gara kesan penternakan besar suami, sepatutnya disokong bulat oleh gerakan wanita yang dipimpinnya, tetapi ada yang tidak membantunya, mencabarnya melepaskan pimpinan Wanita UMNO.
Itulah senario reaksi Shahrizat atas masalah yang dihadapinya gara-gara penglibatan suaminya mendapat kemudahan tidak terhingga dari kerajaan.
Biar kita lupakan orang lain yang terlibat dalam pemberian lesen dan pinjaman dari kerajaan kepada suaminya dalam penggembalaan itu. Kita tumpukan kepada suaminya saja.
Suaminya baik betul mahu pun tidak cara memperoleh persetujuan dari kerajaan, dikira oleh semua telah mendapat sesuatu dari kedudukannya sebagai seorang menteri yang berpengaruh.
Shahrizat memimpin sayap Wanita UMNO yang anggotanya 1.3 juta orang dan menjadikannya menteri yang berpengaruh.
Suaminya mendapat kemudahan dari kedudukannya yang berpengaruh itu. Semua merasakan, seorang yang tiada pengalaman dalam gembalaan besar sukar memperoleh anugerah dari kerajaan. Maka orang terasa dia dapat kemudahan dari kedudukan isterinya. Mungkin orang boleh menyangka dia dapat kesempatan atas kedudukan isterinya.
Masalah yang Shahrizat hadapi mungkin sama dengan Perdana Menteri Najib hadapi. Suami Shahrizat mudah dapat sesuatu dari kedudukan Shahrizat manakala isteri Najib pula mudah dapat apa saja dari kedudukan dan pengaruh suaminya.
Suami Shahrizat dikira bertuah kerana beristerinya seorang menteri dan Ketua Wanita UMNO yang berpengaruh, manakala isteri Najib pula bertuah kepada dapat bersuaminya seorang Perdana Menteri yang amat berpengaruh.
Semua kata isteri Najib seolah-olah lebih berkuasa dari suaminya. Apa dia mahu semua dapat dan dia minta dari kerajaan sama ada Najib tahu atau tidak tahu, payah kerajaan tidak meluluskannya.
Kalau adab, tingkah laku dan perbuatan isteri itu menjadi masalah kepada Najib sebagai suami dan Perdana Meneri, maka masalah yang sama terpaksa dihadapi oleh Shahrizat atas suaminya.
Akan kelangsungan isteri Najib ke atas kerajaan dan suaminya telah diketahui oleh semua dan bising semua kerananya. Macam-macam orang kata tentangnya dan kerana itulah ramai mahu Najib tidak menjadi Perdana Menteri lagi.
Kalau orang yang tidak senang dengan suami Shahrizat mahu Shahrizat berhenti dari menteri dan pimpinan Wanita UMNO, orang yang tidak senang dengan isteri Najib mahu Najib meninggalkan kuasa. Sekurang-kurangnya dua bekas ADUN UMNO menyertai DAP kerana tidak percaya kepada Najib dan UMNO.
Maka kira-kira sama masalah yang Shahrizat hadapi dengan Najib. Tetapi Shahrizat tidak secerdik Najib. Apa yang isteri Najib buat itu tidak sekencang yang dibuat oleh suami Shahrizat. Tetapi Shahrizat menghadapi masalahnya seperti ibu ayam bertelur. Riuh sekampung.
Shahrizat hentam orang itu dan orang ini yang bising atas suaminya. Tetapi Najib diam seribu bahasa atas apa saja orang kata pada isterinya. Najib sama seperti tembok. Katuklah tembok semahunya tembok tetap membisu.
Oleh itu Najib tidak berbalah dengan sesiapa yang mengata isterinya begitu dan begini. Tetapi Shahrizat mengamuk bila suaminya disentuh.
Najib tidak ada reaksi atas nasib Shahrizat kerana dia juga menghadapi nasib yang sama.