ARTIKEL SEBELUM

20/12/11

Makin ramai ahli tinggalkan Umno di Jeli

M Faqih

JELI, : Hasrat Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu terus mempertahankan parlimen ini buat penggal ketiga pada pilihan raya umum ke-13 kini makin tergugat.

Majoriti undi yang diraih iaitu sebanyak 4,436 pada pilihan raya umum Mac 2008 sekarang semakin mengecil apabila ramai ahli dan penyokong Umno menyertai PAS.

Malam tadi seramai 113 lagi ahli dan penyokong Umno diketuai Mohd Yusof Abdullah, 62 menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program itu diadakan di Dun Air Lanas, yang menyaksikan kehadiran orang ramai luar jangka biar pun hujan pada sebelah siang.

Malah selepas ini banyak lagi siri ceramah Selamat Tinggal Umno akan diadakan di dua Dun di Jeli iaitu Kuala Balah dan Bukit Bunga.

Mat Yusof yang tinggal di Blok Machang, Air Lanas berkata, kesedaran yang berputik dalam dirinya sendiri menjadi punca beliau meninggalkan Umno.

Katanya, beliau dan isteri serta rakan-rakan memilih berhijrah sempena tahun baru Islam dan berazam mahu membantu PAS merampas semula parlimen Jeli.

“Selepas ini ada lagi rakan-rakan saya dalam Umno yang akan mengikut jejak langkah saya,” katanya yang berpeluang berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Menurutnya biar pun sudah lama berjuang dalam Umno, namun kesedaran mulai berputik dalam jiwanya bagi memilih haluan Islam bagi meneruskan sisa-sisa perjuangan.

Rakannya Tuan Hassan Tuan Mat, 50 memberitahu sudah lama kesedaran berputik dalam jiwanya untuk memilih Islam sebagai medan perjuangan.

Katanya, beberapa tahun lalu beliau pernah bermimpi bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Beliau hairan bagaimana wajah Menteri Besar Kelantan boleh muncul dalam mimpinya biar pun bukan penyokong PAS.

“Bermula dari situlah mulai lahir satu kesedaran baru dan saya tekad meninggalkan perjuangan lama yang tidak lagi memberi apa-apa makna.

“Lagi pun anak saya sudah lama meminta saya meninggalkan Umno,” ujarnya.

Hadir sama di majlis ceramah itu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Yang Dipertua PAS Jeli, Apandi Mohamad, Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kob dan Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud