ARTIKEL SEBELUM

6/12/11

Kenapa Saya Keluar Dari UMNO?

PARTI UMNO adalah parti pertama saya menjadi ahli pada 1994. Sungguhpun saya pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Cawangan USNO Kg Petagas, saya tidak pernah menjadi anggota parti itu secara rasmi.

Saya di Edinburgh, Scotland selama 5 tahun dan balik ke Sabah pada September 1994. Ketua UMNO Bahagian Kota Belud pada masa itu ialah Datuk Seri Salleh Said. Dia juga Menteri Kewangan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sebaik bertemu, dia menjemput saya menyertai UMNO.





Pada masa yang sama, abang kandung saya Jamlidi Hj Oli adalah Ketua Bahagian PBS. Dia dijangka akan menentang Salleh Said di Parlimen Kota Belud atau DUN Usukan jika PRU diadakan kerana PBS adalah parti pembangkang ketika itu.
PBS pimpinan Tan Sri Pairin hanya kembali kepangkuan BN pada tahun 2001 setelah tewas pada PR negeri tahun 1999.

Walaupun abang saya seorang pemimpin kanan PBS, saya memilih UMNO kerana saya kenal UMNO. Saya pernah belajar dan mengajar mata pelajaran sejarah. Saya tahu siapa Onn Jaafar, Tunku Rahman, Tun Razak, Tun Hussien. Saya tahu sejarah Malayan Union.

Saya yakin berdasarkan sejarah perjuangannya UMNO adalah parti terbaik kepada saya dan rakyat Sabah!

Saya juga yakin parti UMNO boleh meneruskan agenda yang diperjuangkan rakyat Sabah melalui PBS tanpa perlu berkonfrantasi dengan kerajaan Pusat. Perjuangan memulihkan Perkara 20, Borneonisasi, otonomi, masalah PTI dan banyak lagi isu negeri, pada hemat saya rasa lebih mudah ditangani jika parti UMNO yang menerajuinya kerana hubungan yang rapat kepimpinan UMNO negeri dengan pimpinan tertinggi negara.

Begitulah tingginya harapan saya kepada UMNO!

Selepas berlalu PRU 1995, 1999, 2004, 2008 dan selepas 9 orang KM Sabah bertukar ganti sejak UMNO masuk ke Sabah. Bermula dengan Tun Sakaran Dandai, Datuk Salleh Said Keruak, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Dompok, Datuk Osu Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Datuk Musa Aman. Isu seperti royalti, perkara 20, PTI dan Borneonisasi masih tidak mendapat perhatian yang serius.

Kepimpinan UMNO Sabah dan Pusat terus mendendangkan lagu pembangunan. Manakala rakyat Sabah terus bergelumang dengan pelbagai masalah ekonomi dan sosial. Kadar kemiskinan masih di tahap yang tinggi. Kadar pengangguran terus berada di puncak statistik negara.

Jika ada 100 belia dari Sabah yang berkelayakan mencari pekerjaan ke tanah Semenanjung, dimana kah mereka bekerja? Peluang hanya mampu dapat kerja sebagai GRO, tukang urut di Bukit Bintang atau kerja Kilang di Sungai Way. Sebaliknya jika ada 100 belia dari negeri-negeri dari Semenanjung ke Sabah, mereka akan menjadi ketua-ketua jabatan persekutuan, pegawai kanan dan kontraktor Petronas.

UMNO adalah parti yang terbaik kepada orang Melayu di Tanah Melayu!!

Saya sedih keluar dari parti yang terus mengungguli perjuangan membela agama, bangsa dan negara seperti UMNO. Saya amat menghormati prinsip UMNO untuk membela umat Melayu. Tapi untuk UMNO membela dan memperjuangkan hak-hak orang Bajau, Kadazandusun, Murut, Ubian, Brunei, Orang Sungai, Kadayan, Bisaya, Tatana, dan rakyat pribumi Sabah yang lain barangkali belum sampai masanya!- sabah kini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud