ARTIKEL SEBELUM

31/12/11

Jangan bermain api: penemuan kepala babi di hadapan pintu masjid

Jangan bermain api: Ketua Polis Johor


JOHOR BAHRU - “Jangan bermain dengan api kerana perkara ini bukan saja mencabar kredibiliti kami, malah menggugat sensitiviti masyarakat Islam khususnya.”

Demikian amaran Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berhubung kejadian penemuan kepala babi yang diletakkan di hadapan pintu masjid di Taman Desa Jaya, di sini.

Mohd Mokhtar berkata, tindakan itu disifatkan sebagai perbuatan melampau yang memaksa satu pasukan khas ditubuhkan serta merta bagi menyiasat kejadian itu.

“Pasukan itu yang ditubuhkan hari ini (semalam) akan memulakan operasi mencari dalang yang terlibat.

“Kami akan menyiasat perkara ini secepat mungkin untuk mengheret individu mahupun pihak terbabit ke muka pengadilan kerana kejadian ini nyata mencabar dan mempersendakan agama kita.

“Ini bukan perkara remeh, individu yang melakukannya jelas mencabar semua umat Islam bukan saja di negeri ini malah di seluruh Malaysia dan kami bertekad akan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Mokhtar berkata, pasukan itu dikerah untuk mencari petunjuk dan mendapatkan maklumat supaya individu atau kumpulan yang terbabit dengan perbuatan­ itu ditahan dan didakwa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang berkata, insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan harus dikutuk sekeras-kerasnya kerana bertentangan dengan amalan rasional di sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam kerana ia menyentuh sensitiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menuduh siapa yang melakukan perbuatan itu, sama ada dilakukan oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam.

“Sekarang kita perlu menyerahkan segalanya kepada polis untuk menyiasat insiden ini dan saya harap masyarakat di kawasan ini bertenang dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud