ARTIKEL SEBELUM

31/12/11

Cari siapa dalang salah faham


SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menyeru partinya mengenalpasti 'dalang' di sebalik kontroversi antara bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang dikatakan menentang konsep Negara Berkebajikan selepas diperkenalkan Pas pada muktamar lalu.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, parti perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kemelut ini tercetus.

"Ia sebagai pengajaran pada masa yang datang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan Hasan dan Nasharuddin bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; timbalannya, Datuk Dr Haron Din dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR10 di Kota Bahru, Selasa lalu.

Akibat perselisihan faham itu, Hasan dan Nasharuddin dikritik kepimpinan sendiri, di mana Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mendakwa Hasan terjerat dengan agenda Umno.

Bagaimanapun, Hasan menarik balik kenyataan dibuatnya pada 20 Disember dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai keterlanjuran.

Katanya, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan pucuk pimpinan.

Walaupun menarik kenyataan terdahulu, Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetulkan perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu ‘akomodatif’ demi kepentingan parti komponen.

Manakala bagi Nasharudin, dalam kenyataannya sebelum ini, beliau tetap tidak akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Umno dan dakwaan kononnya beliau terperangkap dalam agenda Umno adalah tidak berasas dan terlalu jauh menyimpang dari kebenaran.

Mengulas kepada pertemuan mahabbah untuk menyelesaikan perbezaan pandangan di dalam parti baru-baru ini, beliau bersyukur dengan semangat ukhuwah yang tinggi dikalangan pimpinan.

“Amalan memohon kemaafan amat dituntut dan digalakkan ajaran Islam, terdapat dalam satu hadis yang menceritakan kelebihan orang yang meminta maaf, ALLAH SWT amat menyayangi mereka yang melakukan keterlanjuran kemudian kembali kepada ALLAH SWT, kedudukan mereka sangat istimewa di sisi ALLAH SWT berbanding mereka yang enggan melakukan tindakan sedemikian rupa,” tegasnya.

Harun Taib

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud