KUALA LUMPUR 21 Nov: TV Selangor (TVS) akan menyiarkan siaran secara langsung menerusi sesawangnya sekiranya program debat yang membabitkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menjadi kenyataan.
Ketua Pengarang TVS, Sheridan Mahavera dipetik berkata, TVS tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyiarkan siaran secara langsung memandangkan kebanyakan saluran tv milik kerajaan tidak berminat untuk mengadakannya.
“TVS mempunyai krew dan peralatan yang lengkap untuk menyiarkan siaran secara langsung dan selama ini pun banyak siaran secara langsung berhubung pelbagai ‘event’ termasuk ceramah dan konvensyen telah dilakukan dengan jayanya,” jelas Sheridan lapor TVS.
TVS dapat dilayari melalui www:tvsnews.net.
Pada 18 November lalu, KEADILAN menghantar surat undangan rasmi kepada Khairy untuk berdebat berhubung dakwaan skandal projek lembu National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.
Meskipun isu itu membabitkan Datuk Seri Shahrizat Jalil, sebaliknya Khairy kelihatan ghairah membela Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Khairy ada memaklumkan kesediaan bertemu Rafizi tetapi memberi alasan tidak mempunyai masa berikutan terikat dengan acara Perhimpunan Agung Umno akhir bulan ini.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan NFC yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil membeli sebuah kondominum mewah bernilai RM9.8 juta.
NFC membuat empat transaksi pindahan wang dari akaun semasanya di sebuah bank tempatan cawangan Tun Dr Ismail kepada sebuah pemaju hartanah terkemuka 2 Disember 2009.
Rafizi dalam surat undangan tersebut mencadangkan debat itu diadakan pada 12 Disember ini.