Beberapa tokoh sensasi PKR, PAS dan Umno dijadual berkongsi pentas dalam program wacana membincangkang tuntutan pilihan raya bersih dan adil serta prospek parti bertanding dalam pilihan raya umum.
Selain wakil Pakatan Rakyat, program berkonsepkan bual bicara anjuran kerajaan negeri itu dijadual melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Turut terlibat sebagai ahli panel exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, penceramah popular Prof Madya Dr Mohd RidhuanTee Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Dr Zaharuddin Abd Rahman
"Polemik berkaitan perjalanan pilihan raya terus menerus menjadi perbahasan yang tiada kesudahan.
"Mengambil kira kepada situasi inilah, wacana perdana yang berbentuk perbincangan atau perdebatan sekali lagi dianjurkan," kata jurucakap program.
Ia akan berlangsung dalam dua siri pada 8 dan 23 Disember, masing-masing di Balai Islam, Kota Bharu dan Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.
Kedua-duanya sesi itu akan dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.