ARTIKEL SEBELUM

30/11/11

Kerana mahu jadi juara Melayu, pemimpin UMNO main api perkauman

KUALA LUMPUR, 30 NOV – Semata-mata kerana mahu menjadi hero dalam Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang, para pemimpin parti itu telah berlumba-lumba membangkitkan api perkauman.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kenyataan perkauman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dilihat tidak jauh bezanya dengan taktik digunakan pemimpin Nazi Adolf Hitler.

Katanya, Hitler yang mahu mengekalkan kuasa mutlak dengan menggunakan alasan perkauman tebal pada tahun-tahun 1930-an dan 1940-an, telah membawa kepada pemansuhan etnik atau pembunuhan besar-besaran.

“Adalah tidak berperikemanusiaan bagi pemimpin UMNO untuk menggunakan penipuan dan fitnah yang serupa (seperti Hitler) hanya untuk memenangi sokongan Melayu.

“Iklim ketakutan, permusuhan dan kebencian yang digalakkan UMNO bukan sahaja bertentangan dengan slogan 1Malaysia, malah membinasakan perpaduan negara dan keharmonian kaum.

“Oleh itu, rakyat Malaysia hendaklah bersatu dalam pilihan raya umum yang akan datang untuk menghalang UMNO daripada melakukan kerosakan yang sama kepada negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, DAP tidak pernah lari dari landasan perdamaian kebangsaan dan kerjasama antara semua lapisan masyarakat Malaysia.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin dan Ahmad Maslan yang mencerca dan memfitnah DAP menggunakan hujah tidak berasas.

Ahmad yang menggunakan logik cacat minda politik, telah menuduh DAP tidak menghormati institusi raja kerana tidak mahu meminta atau menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran-gelaran seperti Datuk.

Justeru Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan pemimpin DAP tidak mengejar gelaran berbanding pemimpin-pemimpin UMNO tertentu yang terhegeh-hegeh mengejar kedudukan.

“Adakah ini bermakna kami tidak menghormati institusi Raja?

“Jika begitu, adakah mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba juga seorang yang tidak menghormati institusi diraja kerana Allahyarham juga enggan menerima apa-apa gelaran semasa aktif berpolitik?” soalnya.

Dalam pada itu Guan Eng turut menjelaskan bahawa DAP selama ini tidak pernah mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam.

Beliau memberi contoh kenaikan berkali-kali ganda peruntukan hal-ehwal agama Islam Pulau Pinang yang diberikan oleh kerajaan Pakatan di negeri itu.

Jelasnya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah langsung mengusir walau sebuah rumah kampung Melayu.

Tambahnya, satu-satunya rumah kampung Melayu yang pernah dirobohkan di Pulau Pinang telah dirobohkan oleh pemaju yang mempunyai kaitan dengan UMNO, dan bukannya oleh kerajaan negeri. – Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud