PUTRAJAYA: Kehadiran Datin Seri Rosmah Mansur dalam perjumpaan tertutup dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan, menimbulkan tanda tanya dan kecaman pelbagai pihak.
Ia terbongkar apabila nama isteri Datuk Seri Najib Razak tertera dalam senarai kehadiran dalam berita yang dilapor agensi berita rasmi, Bernama pada 6 Oktober lalu.
Mengikut laporan itu, Rosmah hadir ketika suaminya itu meninjau operasi persiapan terakhir Belanjawan 2012 di Kementerian Kewangan, sehari sebelum belanjawan dibentang.
Perbuatan Rosmah yang selama ini mengaku sebagaiFirst Lady of Malaysia (FLOM), dikecam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan mempersoal kehadiran Rosmah dalam lawatan tersebut.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata tindakan Rosmah semakin melampau kerana mencampuri urusan negara terutama melibatkan ekonomi.
“Ini tak pernah dilakukan mana-mana isteri PM kerana ia membabitkan menteri di kementerian yang berkaitan ekonomi dan hal ehwal negara.
“Saya mendesak supaya Najib maklumkan apa peranan Rosmah. Apakah dia pakar runding? Atau Menteri Kewangan Kedua yang sebenar? Rosmah tidak perlu menyibuk kerana dia hanya isteri dan tidak ada kuasa eksekutif,” katanya.
Penglibatan Rosmah itu turut dikecam dalam laman sosial twitter.
“Sapa (siapa) rosmah mansor untuk hadir dlm meeting bajet?” kata seorang pengguna akaun twitter, emmiza
“Tak boleh beza Mesyuarat Sulit Belanjawan Negara sampai Rosmah blh hadiri?Prihatin pd negara agak2 la smpi mesyuarat sulit kewangan negara diketahui Rosmah,” kata pengguna akuan Ikhwan Hafiz pula.
Keadilan Daily