Pakatan Rakyat mengecam keras tindakan pihak tidak tertentu yang didakwa mengedar risalah memburuk-burukkan pelaksanaan hukum Hudud.
Ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke berkata, pengedaran risalah tersebut merupakan 'satu kerja gila' pihak lawan dalam usaha memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.
Bercakap pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini, Loke yang juga ahli Parlimen Rasah menyatakan, walaupun DAP tidak bersetuju dengan Hudud, namun tindakan memburuk-burukkan hukum Islam ini adalah 'sangat tidak bermoral'.
Turut serta dalam sidang media itu ialah, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan ahli Parlimen Teluk Intan, A Sivanesan.
Beliau menunjukkan bukti dua risalah yang diperolehinya di Kuala Lumpur yang diedarkan kepada orang ramai.
Risalah itu menunjukkan gambar kononya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memancung kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sementara satu lagi risalah menunjukkan tangan Pengerusi Perhubungan KeADILan Johor, Dato' Dr Chua Jui Meng dipotong tangannya.
Risalah yang memiliki tulisan mandarin itu diedar juga di Johor dan dibeberapa tempat lain, kata Loke.
Sambil mendakwa ia mungkin dilakukan pihak bertentangan, beliau melihat pengedaran risalah ini hanya untuk mencetuskan ketegangan hubungan antara agama.
Secara khasnya, tindakan mengedar risalah ini adalah satu strategi jahat pihak tersebut untuk memanjangkan isu ini menjelang pilihan raya umum ke-13, katanya.
Sementara itu ahli Parlimen Shah Alam pula berkata, risalah itu sengaja diedarkan bagi memusnahkan imej Islam dimata bukan Islam.
Fokusnya adalah untuk memburuk-burukkan Islam dan menjauhkan bukan Islam terhadap Islam yang sebenarnya mementangkan keadilan untuk semua pihak, katanya.
"Rakyat cuba digambarkan kononnya Hudud yang mahu dilaksanakan PAS sebagai suatu yang amat kejam. Sedangkan ianya bukanlah gambaran sebenar, Hudud bukan sedemikian, ini hanya gambar propaganda untuk memburuk-burukkan Islam, kita amat kecewa
dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini, katanya.
Walaupun terdapat perbezaan dalam Pakatan Rakyat mengenai Hudud, namun DAP yang tidak bersetuju dengan hukum ini tidak menentangnya dengan sikap ekstimis, kata Khalid.
"Namun dipihak lain pula (pihak musuh) cuba menggambarkan kononnya inilah (sambil menunjukkan gambar risalah) sebagai Hudud Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya.
Beliau mahu pihak berkuasa polis segera menyiasat dan mengambil tindakan kepada pihak yang terbabit dengan pembikinan serta pengedaran risalah berbentuk anti agama ini.
Mengulas isu yang sama, Siti Zailah yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat berkata, apa yang dipaparkan dalam risalah itu 'sangat berniat jahat' memburukkan Islam.
Bagi Zailah, jika ia dilakukan oleh orang yang beragama Islam, ia sebenarnya suatu perbuatan terkutuk kerana memburuk-burukkan agama dan hukum hakam agama.
"Saya menyeru agar tindakan tegas diambil segera ke atas pihak terbabit," katanya lagi.