ARTIKEL SEBELUM

2/09/11

Anwar alukan sambutan Aidil Fitri di kawasannya

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 2 Sept: Walaupun menyifatkan Umno terlalu fobia dengan beliau, namun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mengalu-alukan tindakan kerajaan BN mengadakan sambutan hari raya Aidil Fitri dalam kawasannya.

Umno, kata Anwar, begitu fobia terhadap Parlimen Permatang Pauh sehingga sanggup mengadakan Sambutan Perayaan Aidil Fitri 1 Malaysia di padang Sekolah Menengah Guar Perahu pada 11 September ini untuk mengukur sokongan terhadap Barisan Nasional.

Beliau mengulas keputusan kerajaan BN untuk mengadakan sambutan hari raya Aidil Fitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh 11 September ini.

Kata Anwar, BN terlalu terdesak dan mahu melihat sendiri adakah rakyat di Permatang Pauh akan kembali memberikan sokongan padu seperti dulu sekaligus memberi kesan pada pengundi di seluruh Malaysia bahawa sokongan terhadap Pakatan Rakyat makin terhakis ekoran berbagai isu yang dihadapi.

Namun sambungnya, para pengundi di Permatang Pauh sudah bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwah jahat Umno dan BN yang seakan lembut gigi dari lidah bila menabur janji manis.

"Sah Umno sebenarnya fobia terhadap parlimen ini. Sebab itu menjelang pilihanraya umum ke 13 mereka mengadakan Sambutan Perayaan Aidil Fitri 1 Malaysia di sini. BN nak tengok sokongan, " tegasnya pada pemberita selepas program Hari Terbuka Aidil Fitri Parlimen Permatang Pauh dan Penanti di bilik gerakan PKR Penanti dekat sini semalam.

Menurut Anwar lagi, bagaimana pun beliau tetap menyeru rakyat di Parlimen Permatang Pauh dan lain-lain parlimen di Pulau Pinang datang meraikan program berkenaan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang sudi memilih Permatang Pauh sebagai lokasi terakhir sebelum berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13 kelak.

"Pergilah untuk bertemu PM, minta duit raya dan makan apa yang dihidangkan. Manakala untuk undi itu soal lain, " tambahnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud