21/07/11

Tembakan Kanister Gas, Cubaan Untuk Bunuh Anwar, Surendran

KUALA LUMPUR 20 JULAI : Tindakan polis menghalakan tembakan gas pemedih mata tepat menuju ke arah Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah cubaan terbaru untuk membunuh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, ia merujuk kepada tindakan polis menyerang menggunakan tembakan gas pemedih mata secara terus ke terowong dekat KL Sentral 9 Julai lalu.

Menurut beliau, insiden itu sudah dirancang lebih awal oleh pasukan polis untuk mencederakan Anwar, termasuk mendatangkan kematian.

“Tembakan kanister itu memang sengaja dihalakan ke arah Anwar dan tindakan pantas Fayyadh (Afiq Al Bakqry) menarik tangan Anwar di terowong itu berjaya menyelamatkan ketua umum itu. Namun malangnya, Fayyadh pula yang cedera,” katanya.

Surendran menjelaskan hal itu pada sidang media selepas bersama-sama pengawal peribadi Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berikutan kecederaan serius yang dialami beliau dalam cubaan polis menyuraikan orang awam pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.
Menurut peguam hak asasi manusia itu, cubaan membunuh itu susulan dari beberapa insiden seperti sabotaj kereta yang dinaiki isteri pemimpin pembangkang itu, ancaman terhadap cucu beliau dan kes cubaan membunuh membabitkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor pada 1998.

“Apa sudah jadi dengan semua laporan polis yang kita buat? Sebab itu kita percaya insiden ini satu lagi cubaan membunuh Anwar dan kita menuntut siasatan segera,” tegasnya.

Turut hadir ketika laporan polis dibuat peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Pengarah Biro Guaman Keadilan, Latheefa koya dan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, polis harus menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes ini memandangkan ia adalah bentuk salah guna kuasa yang serius.
" Kes ini harus disiasat ke atas siapa yang melakukan tugas dan siapa yang memberi arahan. Ini adalah satu perkara dan kes salah guna kuasa yang serius sehingga mencederakan orang awam,"kata beliau.

Pada hari kejadian, Fayyadh cedera teruk di muka apabila hampir keseluruhan tulang pipi kirinya retak akibat tembakan kanister yang dilepaskan menghala ke arah Ketua Pembangkang.

Beliau yang bertindak mahu menyelamatkan ahli parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun terkena kanister itu.

Akibat dari itu, lima plat titanium dimasukkan ke dalam tulang pipi beliau.

Oleh itu, pihaknya menggesa polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

" Polis langgar prosuder ketika melepas tembakan. Gas pemedih mata dilepaskan pada kawasan tertutup (terowong), menembak tepat kepada orang awam,dan tembak tanpa memberi arahan,"kata beliau.

" Kami ada video sebagai bukti, polis melepas lebih kurang 12 das dalam kawasan tertutup dan jelas arahan pada kelongsong, tidak boleh tembak tepat ke arah orang awam,"tambah beliau lagi.- tvs