21/07/11

Makcik BERSIH mohon jangan ganggu

Makcik BERSIH mohon jangan ganggu

Aunty Anne Ooi, 65, yang dikenali sebagai Lady of Liberty Malaysia kini cuba mengelakkan diri daripada menjadi tumpuan selepas terpegun khabaran bahawa laman Facebook yang didirikan untuknya telah mendapat lebih 40,000 peminat.

Bekas guru yang hanya menjalani kehidupan ringkas, kini menghadapi kejutan budaya.

"Saya begitu takut dengan semua 'kegilaan' di Facebook," katanya.

"Saya kini hidup tanpa TV, tanpa akhbar dan benda-benda mengarut. Saya hanya baca buku yang baik. (Sekarang) saya juga tidak berani pulang ke rumah. Semua kegilaan ini cukup menakutkan saya. Semua ini terlalu sukar dipercayai.”

Bekas guru bahasa Inggeris selama 35 tahun itu berkata, beliau berlindung di rumah anak perempuannya dan beliau tidak berani keluar ke tempat awam kecuali ke gereja.

Beliau juga meluahkan hasrat supaya hidupnya tidak diganggu dan meminta orang ramai memberinya masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

"Tolong beri saya masa,” katanya.

Ooi mencuri tumpuan apabila gambarnya yang berpakaian kuning tetapi basah kuyup sambil memegang sejambak bunga kekwa putih dan berjalan lesu mengelak kemaraan polis tersiar.

Wanita itu turut terkena pancutan air berkimia polis di luar bangunan Hospital Tung Shin di ibu negara Sabtu lalu dan tidak mampu melarikan diri apabila diminta bersurai.