27/07/11

Dakwa Cubaan Bunuh Anwar, Peguam Disoalsiasat


KUALA LUMPUR 27 JULAI : Peguam N. Surendren disoal siasat polis bersabit dakwaannya bahawa terdapat cubaan membunuh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surendren pada mulanya hadir di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur bagi mengiringi pengawal peribadi kepada Anwar, Fayyahd Afiq Albakqry, memberikan keterangan kepada polis berhubung dakwaannya menjadi mangsa kekerasan polis semasa himpunan aman Bersih 2.0, 2 minggu lalu.

Surendren yang ditemui di luar balai polis berkata, soalan- soalan yang diajukan polis kepadanya tidak relevan.

Beliau sebelum ini mendakwa tindakan polis melepaskan tembakan peluru gas pemedih mata tepat kearah muka Anwar adalah siri terbaru untuk membunuh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau juga berkata, insiden itu seolah- olah dirancang lebih awal oleh pasukan polis untuk mencederakan Anwar, termasuk mendatangkan kematian.

Menurut peguam hak asasi manusia itu, cubaan membunuh itu susulan dari beberapa insiden seperti sabotaj kereta yang dinaiki isteri pemimpin pembangkang itu, ancaman terhadap cucu beliau dan kes cubaan membunuh membabitkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor pada 1998.

Dalam perkembangan lain, sehingga jam 4 petang tadi, Fayyahd masih lagi disoal siasat.

Fayyahd sebelum ini membuat laporan polis setelah mengalami keretakan tulang pipi akibat mahu melindungi Anwar yang menjadi sasaran tepat tembakan gas pemedih mata oleh polis di KL Sentral 9 Julai lalu.

Beliau yang ditemani Pengarah Biro Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya sekitar jam 2.30 petang tadi.

Sejuru selepas itu, kelihatan peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri dan peguam N. Surendren yang turut hadir bagi memberikan sokongan kepada Fayyahd.

Pada kejadian tersebut, dikatakan pihak polis telah melepaskan tembakan gas pemedih mata di kawasan terowong di KL Sentral tanpa sebarang amaran.

Pada kejadian itu, Anwar juga dilaporkan cedera akibat terjatuh semasa melarikan diri akibat terkena tembakan gas pemedih mata.