Rayuan terbaru, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar perbicaraan liwat terhadapnya, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai.
Peguamnya, Sankara Nair, menerima pemberitahuan mengenai perkara itu semalam dari pendaftar Mahkamah Rayuan.
Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Hakim Zabidin (kiri) telah mengarahkan ketua pembangkang itu membela diri apabila mahkamah mendapati ada kes terhadapnya dan mendapati Saiful adalah sakti yang boleh dipercayai.
Peguam Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa keputusan Zabidin menunjukkan hakim itu membuat pra-penghakiman sebelum perbicaraan itu selesai.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Hakim Zabidin memutuskan bahawa permohonan Anwar tidak mempunyai merit dan menolaknya.
Karpal , bagaimanapun, berjaya mendapatkan perintah penangguhan daripada Zabidin sementara menunggu rayuan tersebut.
Walau apa pun hasil rayuan tersebut, Hakim Zabidin telah menetapkan 13 Julai untuk kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.