Siti Nurhaliza dan tujuh lagi rakan artis lain telah menyerahkan borang menerima tawaran menyertai pasukan askar wataniah kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Pertahanan hari ini.
Siti Nurhaliza, 32, berkata program ini bukan sahaja dapat membina jati diri tetapi juga dapat menguatkan ketahanan fizikal dan mentalnya sebagai sukarelawan.
“Saya pernah membuat latihan dan aktiviti lasak sebelum ini dalam sebuah program televisyen, namun saya rasakan latihan yang bakal dilalui dalam askar wataniah lebih mencabar.
“Mungkin dari segi latihan kecergasannya. Jadi, saya perlu persiapkan diri dengan ketahanan fizikal dan mental,” katanya yang turut menerima uniform askar wataniah daripada Menteri Pertahanan.
Suami Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohamad Jiwa juga hadir pada Majlis Penyertaan Selebriti Askar Wataniah di sini hari ini.
Penyanyi baru, Ana Raffali pula berkata dia gembira apabila ditawarkan untuk menyertai askar wataniah.
“Saya pernah berniat untuk menjadi askar. Namun, niat tersebut tidak dapat diteruskan kerana kekangan masa dan tidak tahu prosedurnya.
“Sebaik sahaja mendapat tawaran daripada Kementerian Pertahanan, saya terus menerimanya,” kata artis yang masih solo.
Bagaimanapun, beliau yang mempunyai masalah kesihatan tidak menganggap ia bukan penghalang untuk menyertai askar wataniah.
“Saya mahu menyumbang sesuatu kepada negara. Jadi, saya tetap akan meneruskan menerima latihan dalam rejimen ini ini,” katanya yang mempunyai masalah lelah.
Dalam pada itu, Shaheizy Sam Abdul Samad pula berkata dia menyertai askar wataniah meneruskan cita-cita ayahnya.
“Saya akan memenuhi cita-cita ayah walaupun dia sudah tiada. Tambahan pula, Saya dapat mempelajari lebih banyak ilmu ketenteraan yang menyeronokkan,” kata pelakon filem Adnan Sempit.
Selain itu, Aizat Amdan kelihatan teruja apabila menerima tawaran rejimen tersebut.
“Saya mahu menyertai pelbagai jenis latihan yang ada seperti kawad kaki, menembak, mengendalikan senjata seperti M-16,” kata Aizat.
Selebriti lain yang turut menyertai rejimen tersebut ialah penerbit filem David Teo; model, pengacara dan pelakon, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya atau Intan Ladyana, pelakon Mohd Nor Bon dan anak perempuan Zahid sendiri Nurul Hidayah.
Dalam pada itu, Zahid berkata selebriti yang menyertai rejimen itu dapat dijadikan sebagai ikon untuk menarik minat golongan muda turut sama terlibat dengan askar wataniah.
“Penyertaan mereka boleh dijadikan contoh ikutan kepada golongan muda dari pelbagai bangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyertaan Selebriti Dalam Askar Wataniah.
Sesiapa yang menyertai Rejimen Askar Wataniah perlu menjalani dan menamatkan latihan 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum ditauliahkan.
Zahid berkata, Kementerian Pertahanan mempelawa selebriti menyertai askar wataniah bagi memberi pendedahan kepada warga selebriti tentang aktiviti, latihan dan tugas-tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dengan penyertaan ini, saya mahu mereka merasai dan memahami sendiri latihan askar-askar ATM.
“Dalam masa yang sama, selebriti juga berperanan dalam menjiwai hati anak-anak muda masa kini, “ katanya lagi.-msia insider