ARTIKEL SEBELUM

17/06/11

Kartun hina Islam: Matlamat politik halalkan cara



KUALA LUMPUR: Matlamat memenangkan tuan politik mendorong Utusan Malaysia yang diletak di bawah Media Prima, menghalalkan apa saja cara termasuk menghina Islam, kata Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari.

Beliau berkata, pertimbangan sensitiviti agama, kaum dan gender bukan lagi keutamaan dalam etika kewartawanan mereka, selagi ia bertujuan menjatuh kredibiliti lawan.

“Ini akibatnya apabila keterlaluan meletakkan agenda politik untuk melebihkan tuan politik mereka- Matlamat menghalalkan cara.

“Sama ada editornya beragama Islam atau tidak bukan isu utama. Walhal, mereka tahu perbuatan itu melanggar hukum agama mereka sendiri,” kata Hata yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Hata yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia berkata, ia bukan pertama kali karya seperti itu disiarkan media yang dinaungi Media Prima.

“Ini bukan kali pertama Media Prima melakukannya. Sebelum ini Berita Harian mempersenda rakyat Jepun yang sedang berkabung dan kesedihan dengan karikatur satu watak kartun popular yang sedang lari dari ombak Tsunami. Ini tidak sensitif.

“Bahkan, beberapa tahun dahulu, New Straits Times mengulang siar lakaran Nabi Muhammad yang digambarkan sebagai pengganas.

“Jika Media Prima sensitif, ia takkan membenarkan penyiaran tersebut. Jangan anggap masyarakat bodoh,” tegas Hata.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan nilai sinikal yang dihasilkan oleh sesebuah karya berbeza dengan karya yang membawa tohmahan.

Beliau merujuk kepada kartunis politik popular seperti Zunar yang bijak menyesuaikan hasil karyanya untuk tatapan umum.

“Seperti kartunis Zunar, dia melukiskan watak seseorang yang jelas imejnya- contohnya seperti sanggul Rosmah yang besar. Tetapi untuk karikatur seperti (Utusan) ini, jelas menghina hukum Islam.

Semalam, akhbar milik Umno – Utusan Malaysia menyiarkan karikatur yang menghina Ulama dan memperlekeh hukum Islam.

Karikatur bertajuk ‘Kekeliruan Kes Rogol’ menggambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon, tetapi ditolak oleh watak seorang dengan imej berserban kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis dan alatan itu boleh dijadikan bukti. Karikatur bertujuan membawa persepsi seolah golongan agama tidak serius dengar niat mempermain hukum Islam, iaitu persaksian kes zina.

Berikutan itu, bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang bercadang untuk mendakwa pelukis dan editor akhbar berkenaan kerana menghina Islam.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud